Reruai MAPIM di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 yang berlangsung di World Trade Centre Kuala Lumpur (WTCKL) kali ini telah menyaksikan penganjuran Program Bicara Karya yang melibatkan Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sinergi bersama Penerbit UTM Press. Tajuk buku yang telah dibicarakan adalah Penyelesaian Radikal Memartabat Pendidikan Tinggi.
Buku Penyelesaian Radikal Memartabat Pendidikan Tinggi adalah hasil penulisan Naib Canselor UTM iaitu Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Bin Ismail yang baru dilancarkan pada Majlis Bersama Naib Canselor yang diadakan pada 24 Mei baru-baru ini.
Panel jemputan yang diundang ialah Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin (Editor, Penyelidik Eksekutif Pejabat Naib Canselor UTM) dan dikendalikan oleh moderator Puan Sharifah Ezathul Imma Syed Zainal Abidin (Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur).
Ditanya berkaitan mesej utama buku ini iaitu keperluan terhadap memikir semula strategi pendekatan dan cara kerja radikal melalui pendekatan ambition moon shot dan bab yang perlu diberi penekanan agar mesej buku ini sampai kepada pembaca, Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin berpendapat bahawa bab ke-2 dan ke-3 di dalam buku perlu ditumpukan dan diperhalusi pembacaannya kerana bab ini menjadi asas kepada perkembangan di dalam bab-bab yang lain terutama yang melibatkan kolaborasi sinergestik , globalisasi, kesejahteraan universiti, kepimpinan dan bakat yang ada di universiti atau IPT secara umumnya. Cadangan beliau ini diberikan khusus kepada mereka yang mungkin mempunyai kekangan masa dalam membaca buku ini kerana dua bab ini mampu menjelaskan core business universiti iaitu akademik dan penyelidikan.
Timbalan Ketua Pustakawan Kuala Lumpur, Puan Nik Masriza Zakaria yang turut hadir sesi ini turut berkongsi dengan Dr. Muhammad Abd Hadi Bunyamin serta tetamu lain dan penonton di siaran langsung bahawa Perpustakaan UTM Kuala Lumpur juga telah berjaya menulis sebuah buku yang bertajuk ‘Sedekad Transformasi UTM Kuala Lumpur (2010-2020) – Di Sini Bermula, Gemilang UTMKL’ dan mendapat sambutan yang menggalakkan dan kini Perpustakaan UTMKL juga dalam proses membuat sebuah lagi buku.
Dengan adanya acara ini, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur 2023 menjadi platform yang penting untuk memperkenalkan dan membincangkan buku-buku yang relevan dalam bidang pendidikan tinggi serta memberikan ruang bagi para penulis dan penerbit untuk berkongsi pemikiran dan pengetahuan kepada para pembaca dan juga penonton.