Pada 5 Julai 2023, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Kursus Pengurusan Terimaan dan Tuntutan Hasil secara atas talian melalui aplikasi Webex. Kursus ini bertujuan untuk mendedahkan staf di Jabatan Perpustakaan UTM berkaitan dengan proses dan peraturan tuntutan dan terimaan hasil universiti. Program ini diadakan bermula pada 9.30 pagi sehingga 12.00 tengahari dan disertai oleh seluruh staf di Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru dan Kuala Lumpur. Kursus ini disampaikan oleh Puan Azliana binti Azlan yang merupakan Ketua Unit Terimaan & Kawalan Kredit (UTKK) di Jabatan Bendahari UTM.

Topik pertama yang disampaikan oleh penceramah adalah berkaitan pengurusan dan peraturan terimaan hasil Universiti. Terimaan hasil melibatkan penerimaan wang tunai dan kupon. Peraturan bagi setiap penerimaan hasil adalah berbeza mengikut jenis terimaan. Menurut penceramah, semua staf UTM seharusnya mengambil cakna berkaitan peraturan dan tatacara ini bagi mengelakkan berlaku masalah dikemudian hari. Topik ini berfokus kepada staf yang menerima hasil dendaan kehilangan buku dan dendaan lewat pemulangan buku di kaunter Jabatan Perpustakaan UTM agar tidak berlaku kes kecuaian dan pecah amanah.

Seterusnya, topik tuntutan hasil disampaikan dan antara perkara yang menarik, pihak UTKK Jabatan Bendahari UTM telah mewujudkan satu inisiatif penjanaan surat peringatan tuntutan hasil bagi melancarkan proses kerja tersebut. Perkara ini memudahkan untuk setiap PTJ mengeluarkan surat mengikut format Universiti dan mengurangkan kesalahan dalam penyediaan surat.

Akhir sekali, tatacara dan peraturan pengumpulan dana UTM turut dikongsi. Penceramah menekankan bahawa UTM telah menerima kelulusan …………………   di bawah sub seksyen 44(6) dari Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) sehingga tempoh 30 Jun 2023. Oleh itu, derma yang bersifat tanpa timbal balik kepada UTM sahaja akan diberi pelepasan cukai dan resit rasmi akan dikeluarkan oleh Jabatan Bendahari.

Kesimpulannya, tatacara dan peraturan bagi proses pengurusan terimaan dan tuntutan hasil adalah tanggungjawab seluruh staf UTM dan tidak terbatas kepada staf yang menguruskan kewangan PTJ sahaja. Semoga dengan pelaksanaan sesi perkongsian ini, dapat memberikan pencerahan berkaitan pengurusan terimaan dan tuntutan hasil UTM.

Share this :