Proses pemberian mata CPD untuk tahun 2023 telah mengalami perubahan drastik yang memerlukan pendekatan baharu dalam kalangan staf UTM melalui penganjuran kursus, bengkel, latihan mahupun program-program rasmi universiti. Pendekatan baharu ini memerlukan penerangan yang lebih jelas bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan staf. Oleh itu Perpustakaan UTMKL telah mengambil inisiatif untuk menganjurkan satu sesi Taklimat Pecahan Mata CPD 2023 dengan kerjasama Bahagian Pendaftar UTM Kuala Lumpur pada 7 Julai 2023 (Jumaat) yang lalu. Penceramah yang telah menyampaikan taklimat tersebut ialah Pn. Nurul Aizzah Ahmad Razali, Penolong Pendaftar Bahagian Pendaftar UTMKL.
Taklimat yang diadakan selama satu jam ini amat membantu staf perpustakaan untuk memahami dengan lebih jelas berkaitan pelaksanaan mata CPD yang baharu yang dilaksanakan sepenuhnya bermula pada tahun ini. Menurut beliau, pelaksanaan mata CPD baharu ini adalah untuk mendidik staf UTM agar lebih peka dan bertanggungjawab atas setiap penglibatan program-program universiti.
Ketika ditanya mengenai sama ada aplikasi UTM Smart sudah boleh digunakan untuk melihat pecahan mata CPD baharu ini, menurut beliau aplikasi ini sedang menuju kepada 80% siap dimana masih banyak lagi penambahbaikan yang akan dilakukan dan memudahkan untuk para staf UTM memantau serta mengatur CPD mereka untuk memastikan markah terbaik mereka perolehi bagi tahun berikut..
Sebelum mengakhiri taklimat ini, beliau berharap agar maklumat dan perkongsian ini dapat dimanfaatkan kepada semua dan sekaligus taklimat ini mampu membantu staf perpustakaan merancang aktiviti bertepatan dengan kompetensi yang bersesuaian.