Pada 7 Jun 2023 (Rabu), sinergi Jabatan Perpustakaan UTM dan Persatuan Pustakawan Malaysia-Kumpulan Selatan (PPMKS) telah menyumbangkan sebanyak 100 naskhah buku bagi pembangunan sudut bacaan di Sekolah Kebangsaan Taman Universiti 4, Skudai, Johor.
Pelbagai jenis buku kanak-kanak yang bersesuaian telah dikenal pasti dan dipilih bagi menyantuni sekolah ini. Dengan itu, buku-buku yang disumbangkan dapat memberi lebih banyak pilihan sumber bahan bacaan kepada para pelajar bagi merancakkan ekosistem budaya membaca bak kata pepatah melentur buluh biarlah dari rebungnya.
Semoga inisiatif Perpustakaan UTM ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar untuk menimba ilmu pengetahuan seterusnya memacu mereka berfikiran secara kreatif, kritis, berdaya saing dalam era sains dan teknologi sebagai mempersiapkan diri menjadi pelapis pemimpin untuk berbakti kepada agama, bangsa, dan negara.