Program pembudayaan ilmu Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru diteruskan lagi dengan Program Read & Relax siri ke-10 yang telah disiarkan secara langsung pada 20 Julai 2023 melalui aplikasi Facebook dan Youtube Jabatan Perpustakaan UTM. Sesi pada kali ini telah menjemput dua (2) orang pengulas iaitu Pn. Saidatul Akmar binti Mohd Sazali, Penolong Pendaftar Kanan, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Pendaftar Universiti Teknologi Malaysia dan Dr. Dina Azleema binti Mohamed Nor, Timbalan Pendaftar, Pusat Pembangunan Bakat & Kepimpinan Universiti, Universiti Teknologi Malaysia. Moderator pada siri ini ialah En. Dzulhelmi bin Mohd Razali, Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia.

Panel pertama, Pn. Saidatul Akmar binti Mohd Sazali memilih buku berjudul How To Be Great At Your Job karya Justin Kerr. Buku ini ditulis berdasarkan pengalaman penulis sendiri bagi memberi panduan dan rujukan untuk menjadi pekerja yang cemerlang. Beberapa perkara penting telah digariskan dan perlu diambil perhatian untuk berjaya dan gembira di tempat kerja. Antaranya ialah penetapan matlamat, kemahiran komunikasi, berkerja dalam kumpulan, pembentangan yang berkesan dan jelas, penulisan emel, kenaikan pangkat dan keseimbangan antara kerjaya dan kehidupan.

Perkara yang dinyatakan oleh penulis dalam setiap bab adalah saling berkait dan sekiranya ia difahami dan dipraktikkan dengan baik dan berkesan maka kejayaan bagi matlamat yang ditetapkan di tempat kerja akan dapat dikecapi dengan jayanya.

Manakala panel kedua iaitu Dr. Dina Azleema Binti Mohamed Nor memilih buku bertajuk Joy at Work: Organizing Your Professional Life Book yang ditulis oleh Marie Kondo and Scott Sonenshein. Buku ini sangat berkait rapat dengan amalan sistem 5S dan EKSA yang dilaksanakan di UTM dan lain-lain organisasi. Menurut pengulas, penulis sangat terkenal dengan kepakaran dalam perundingan susun atur dan telah membantu ramai orang untuk mengubah kehidupan menjadi lebih baik.

Kaedah KonMari berjaya dilaksanakan bagi memastikan keadaan di dalam rumah teratur dan kemas. Oleh itu kaedah ini diadaptasi untuk mencipta kegembiraan di tempat kerjaya. Ia memberi panduan dalam mengenal pasti perkara yang perlu dihindarkan dan memberi fokus kepada tugasan yang diberikan. Hasilnya kerja yang dijalankan akan lebih teratur, efisien dan seseorang itu boleh menjadi lebih gembira, yakin dan bersemangat untuk berkerja.

Share this :