Program BookSharing @UTMKL 2023/Siri 9 telah diadakan pada Khamis, 27 Julai 2023. Mengendalikan program ini, Puan Nurrull Huda selaku moderator bersama dua orang penyampai iaitu Puan Nurfarah Athirah binti Abdullah Sidek (Guru Bahasa, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTMKL) dan Puan Izyanie binti Khazali (Guru Bahasa Inggeris, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan UTMKL). Program yang disiarkan secara langsung dari Facebook UTM Library Kuala Lumpur ini bersiaran selama satu (1) jam.

Memulakan program, moderator telah menjemput Puan Nurfarah Athirah binti Abdullah Sidek untuk membuat perkongsian bersama penonton. Memilih buku bertajuk ‘The Yellow Wallpaper’ yang ditulis oleh Charlotte Perkins Gilman, menurut beliau buku ini berjaya mencuri perhatian beliau yang amat menggemari buku bermotifkan horror, thriller dan bertemakan wanita.

Menurut beliau, buku ini ditulis pada akhir abad ke-19 (late 1800s), ‘The Yellow Wallpaper’ adalah paparan karakteristik dan realistik rawatan mental dan emosi yang dialami wanita pada abad itu. ‘The Yellow Wallpaper’ merupakan novel pendek nukilan Charlotte Perkins Gilman yang menceritakan kisah sedih seorang wanita yang mengalami kemurungan akut selepas bersalin (acute postpartum depression).

Buku ini menceritakan tentang penderitaan seorang wanita yang dikurung selama tiga bulan di dalam kamar oleh suaminya sendiri. Selama tempoh itu beliau menjadi terlalu obses dengan kertas dinding kuning di kamarnya. Beliau terlalu membayangkan hal-hal buruk disebalik kertas dinding berkenaan sehingga menjadikan keadaan kesihatan mental beliau bertambah buruk akibat kurang perhatian dan kasih sayang oleh suami dan kakak iparnya sendiri.

Mengambil pengajaran dari buku ‘The Yellow Wallpaper’ ini, menurut penyampai wanita perlu diberi ruang untuk menyuarakan pendapat , seterusnya didengari dan bukannya dihalang dari melakukan perkara yang mereka sukai. Dengan ini, ia mampu membantu mental wanita menjadi lebih baik. Tambahnya lagi, buku ini berjaya mengetengahkan emosi penulis itu sendiri yang ditinggalkan suami selepas setahun berkahwin namun diadaptasi melalui watak wanita lain.

Program diteruskan dengan penyampai seterusnya iaitu Puan Izyanie binti Khazali yang memilih buku ‘How To Be A Calm Parent’ yang ditulis oleh Sarah Ockwell-Smith. Menurut beliau, buku ini dibaca sebagai panduan beliau sendiri dalam persediaan menjadi ibu, dan kini beliau merupakan seorang ibu kepada anak yang berusia 10 bulan. Menyedari bukan mudah menggalas tugas seorang ibu, beliau banyak menghabiskan masa dengan membaca buku bertemakan keibubapaan.

Menurut beliau, pembacaan buku ini sedikit sebanyak dapat memberi gambaran peranan sebagai ibubapa dan dalam masa yang beliau dapat meyediakan diri agar menjadi lebih tenang dalam membesarkan anak-anak. Jika sebelum ini kita merasakan kita kurang penyabar, tetapi penulis meyakinkan bahawa setiap orang boleh berubah. Tidak bermakna jika kita kurang marah bermakna bahawa kita adalah ibubapa yang ‘teruk’.

Tambahnya lagi, tidak menjadi kesalahan bagi ibubapa jika kita kekal tenang dalam mengendalikan anak-anak. Sentiasa fikirkan bahawa kita berjaya mengawal dengan baik perkara yang pernah berlaku pada diri dan persekitaran diri kita sendiri sekaligus kita sedang mencorak diri kita dan keluarga untuk masa hadapan yang lebih baik. Nasihat beliau, untuk menjadi ibubapa yang tenang bukanlah mudah, namun jangan pernah menyalahkan diri sendiri sekiranya gagal. Jangan mengalah, namun kekalkan momentum dan teruskan kebaikan yang kita telah lakukan.

Penyampai turut berpesan agar kita sentiasa bertanya kepada diri sendiri ‘apa masalah saya? Kenapa saya tidak boleh bertenang?’. Ramai daripada kita ingin mengikut gaya keibubapaan yang lebih lembut dan lebih positif, tetapi ia mungkin tidak sesuai untuk semua. Ini kerana, kita tidak secara semula jadi tenang. Kita merasakan bahawa ada sesuatu yang tidak kena dengan diri, merasakan diri tidak cukup baik. Kami percaya kami mengecewakan anak-anak kami dengan tidak mengawal emosi kami sendiri dengan secukupnya.

Share this :