Program Amazing Race Summer School yang dianjurkan oleh Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH) telah membawa 16 orang pelajar dari Universiti Seijo Jepun ke Perpustakaan UTM Kuala Lumpur pada 11 Ogos 2023. Tujuan program ini adalah untuk meningkatkan kemahiran berbahasa Inggeris para pelajar melalui komunikasi dua hala bersama staf perpustakaan.
Dalam usaha untuk mencapai matlamat ini, para pelajar diminta untuk berbual dengan staf perpustakaan bagi mendapatkan maklumat tentang perpustakaan secara umum. Interaksi ini diharapkan dapat membantu para pelajar meningkatkan kebolehan mereka dalam berkomunikasi dalam bahasa Inggeris, disamping mendapatkan pengetahuan tentang perpustakaan dan budaya kerja di UTM. Seramai empat (4) orang staf Unit Sirkulasi dan Pustakawan Unit Promosi telah terlibat secara langsung dalam program ini.
Program ini memberi peluang kepada pelajar untuk belajar lebih banyak daripada sekadar bahasa Inggeris. Mereka akan dapat memahami pentingnya perpustakaan dalam persekitaran akademik, serta cara-cara mengakses maklumat dan sumber-sumber ilmiah yang berguna untuk pembelajaran dan penyelidikan.
Harapannya, melalui program ini, semua pelajar akan mendapat manfaat yang berharga, baik dalam aspek bahasa Inggeris mahupun dalam pemahaman tentang perpustakaan dan budaya kerja di UTM. Ini merupakan langkah positif dalam memperkayakan pengalaman akademik dan antarabangsa pelajar, serta menjalin hubungan yang lebih erat antara Universiti Seijo Jepun dan UTM Kuala Lumpur.