Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah memohon sumbangan bahan bacaan umum kepada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) untuk menyokong keperluan Program Khidmat Masyarakat. Bermula tahun 2022, JPUTM telah meluaskan jaringan rakan sinergi dalam menjayakan Program Khidmat Masyarakat. Sebanyak empat (4) Program Khidmat Masyarakat di Perkampungan Orang Asli telah diadakan dengan menyumbangkan bahan bacaan untuk membangunkan sudut bacaan dan sebagai langkah menyokong program membaca anak Orang Asli.

Inisiatif yang dijalankan oleh perpustakaan ini adalah merupakan salah satu peranan perpustakaan sebagai penyedia maklumat bagi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat bak kata pepatah ‘Bangsa Berjaya Bangsa Membaca’. Justeru pada tahun ini, JPUTM secara aktif memulakan langkah untuk mendapatkan sumbangan bahan bacaan sama ada baru atau terpakai (dalam keadaan yang baik) daripada pelbagai pihak.

Perpustakaan UTM ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) kerana berbesar hati untuk menyumbangkan sebanyak 97 judul/178 naskhah bahan pelbagai judul. Sumbangan yang amat bermakna ini diharap dapat membuka mata ramai pihak untuk turut sama memikul tanggungjawab bagi melahirkan masyarakat yang berilmu dan berwawasan. Sekiranya terdapat sebarang pertanyaan atau ingin menyumbang bahan bacaan, sila hubungi Puan Liza binti Porijo, Pustakawan Kanan, Seksyen Perkhidmatan di talian 07-5531140 atau emel: liza@utm.my

Ayuh sama-sama kita berganding bahu menjayakan usaha murni ini demi anak bangsa tercinta.

Share this :