Selesai sudah Program Bicara Merdeka: Bibik, Mentor Kewanganku yang dianjurkan oleh Perpustakaan UTM Kuala Lumpur sinergi bersama Unit Dana Wakaf Pendidikan UTM Kuala Lumpur. Program ini diadakan secara fizikal di Read Cafe@UTM Library Kuala Lumpur, HE & She Coffee juga disiarkan secara langsung di Facebook UTM Library Kuala Lumpur.

Program yang diadakan selama sejam ini menampilkan penulis buku Bibik:Mentor Kewanganku iaitu Profesor (B) Dr. Ahmad Rahman Songip untuk berkongsi tips serta rumusan dari penulisan beliau melalui buku ini.

Menurut beliau, dalam mendepani ekonomi Malaysia yang tidak stabil ini, apakah tindakan kita jika berlakunya turun naik ekonomi? Setiap organisasi mempunyai strategik perancangan sama juga setiap individu perlu ada strategik plan yang beliau gelarkan sebagai Wealth Blueprint manakala dua asas yang diterapkan di dalam penulisan buku beliau adalah kitaran ekonomi (turun dan naik ekonomi) dan yang kedua adalah duit mesti digerakkan. Dan kerana itulah, setiap individu perlu berfikir cara untuk menggerakkan supaya kita dapat faedahnya.

Memiliki 40 bab, menurut beliau buku ini terhasil dari pengalaman beliau yang pernah menghadapi masalah kewangan yang kronik sehinggakan rumah yang beliau diami sekarang ini hampir dilelong. Dalam masa yang sama, beliau mempunyai seorang ‘bibik’ untuk membantu menguruskan rumah yang dibayar bulanan sebanyak RM 500 dan jumlah itu disimpan sepenuhnya. Ketika ingin berhenti selepas 5 tahun berkhidmat, jumlah yang terkumpul adalah sebanyak RM 30, 000 dan ‘bibik’ memaklumkan bahawa perancangannya adalah untuk memulakan bisnes membela lembu tanpa perlu bekerja lagi dan dapatan yang bakal diperoleh adalah lumayan.

Tersentak dengan pemikiran itu, beliau mula menyedari bahawa pelajaran yang tinggi tidak semestinya menjanjikan bijak dalam menguruskan kewangan. Ini menjadikan beliau bersungguh dalam belajar menguruskan hal kewangan dengan lebih baik melalui pembacaan buku dan menghadiri kursus. Segala ilmu pengetahuan yang beliau peroleh, diabadikan di dalam buku ini untuk dikongsi bersama yang lain.

Beliau turut menyatakan bahawa, amaun yang diterima bukanlah masalah utama. Masalahnya adalah bagaimana kita menguruskan kewangan. Semoga dengan perkongsian ini akan membantu kita membina kewangan yang kukuh sekaligus cekal mendepani ketidakstabilan ekonomi negara.

Share this :