Pada 25 Ogos 2023, seperti lazimnya telah diadakan Program BookSharing@UTMKL 2023 untuk Siri yang ke-10. Istimewanya pada kali ini, program ini telah diadakan di Event Space Read Cafe@UTM Library, He & She Coffee dan turut disiarkan secara langsung di Facebook UTM Library Kuala Lumpur. Dua orang panel jemputan pada siri ini adalah Ts. Dr. Sahnius Binti Usman (Pensyarah Kanan, Fakulti Teknologi & Informatik Razak, UTMKL) dan Puan Nurul Diana Binti Kayat (Pegawai Tadbir, Institut Siswazah Tersedia Kehidupan (UTM iLeague) UTMKL.
Moderator, Puan Noor Ayesha Mohd Ezanee (Pustakawan Kanan UTMKL) telah menjemput Ts. Dr. Sahnius Binti Usman untuk memulakan perkongsian. Beliau memilih buku berjudul Pendiam? yang ditulis oleh Aiman Amri & Aqila Masri yang berkisarkan kepada individu introvert. Menurut pengulas, buku ini juga berkait rapat dengan diri beliau sendiri sebagai seorang introvert. Menjawab pertanyaan moderator bagaimana beliau mengetahui bahawa beliau berpesonaliti introvert, Dr. Sahnius mengetahuinya melalui ujian personaliti dan juga melalui pembacaan buku-buku dan info di internet.
Menurut Dr. Sahnius lagi, objektif utama buku ini adalah untuk membantu golongan introvert untuk mengenali diri dan mencungkil potensi diri mereka, serta membantu golongan ekstrovert untuk memahami dan meraikan golongan introvert. Secara umumnya, seorang introvert adalah mereka yang mempunyai personaliti di mana mereka lebih selesa berinteraksi dengan diri sendiri dan mengasingkan diri daripada interaksi sosial yang dilihat memenatkan untuk mereka sertai. Mereka boleh juga bersosial jika keadaan memerlukan cuma lebih selesa untuk berada dalam dunia berseorangan.
Kesimpulannya, personaliti itu hanyalah perbezaan dan bukan kekuatan atau kelemahan berbanding yang lain. Setiap satunya mempunyai kelebihan tersendiri yang perlu dikenali dan digilap potensinya. Introvert dan ekstrovert, kedua-duanya mempunyai kelebihan dan kekurangan masing-masing.
Program diteruskan lagi dengan perkongsian dari Puan Nurul Diana Binti Kayat yang memilih buku bertajuk Who Moved My Cheese yang ditulis oleh Spencer Johnson. Buku ini mengisahkan tentang empat watak utama iaitu dua orang manusia kerdil bernama Hem dan Haw. Hem adalah seorang yang sentiasa befikiran negatif manakala Haw adalah seorang yang suka beradaptasi dengan keadaan. Dua watak yang lain adalah dua ekor tikus bernama Sniff dan Scurry. Sniff memiliki perwatakan suka ‘menghidu’ dan mencari peluang dan Scurry pula suka bergerak pantas. Kesemua watak ini bermatlamat untuk mendapatkan bekalan makanan harian mereka iaitu cheese atau keju di suatu kawasan diberi nama Sekyen C. Setiap hari mereka berusaha untuk mendapatkan bekalan keju tanpa putus.
Bercerita lanjut, pada suatu hari Hem dan Haw mendapati rakan tikus mereka tiada di Seksyen C dan mereka tidak tahu ke mana tikus-tikus tersebut. Tanpa mempedulikan tikus-tikus berkenaan, mereka bercadang untuk kekal di Seksyen C kerana bekalan keju mereka masih banyak di situ dan mereka selesa dengan keadaan itu. Namun pada selang hari yang lain, mereka mendapati keju mereka tiada di situ. Hem tidak mahu berganjak dari seksyen tersebut kerana ingin menunggu keju yang lain pada esok hari. Manakala Haw bertindak untuk berpindah ke sekyen lain bagi mendapatkan keju yang lebih sedap. Sehinggalah Haw berjumpa Seksyen N yang menyimpan bekalan keju yang banyak dan sedap, di mana Sniff dan Scurry telah lebih dahulu menjumpai sekyen berkenaan.
Menurut pengulas, pengajaran yang kita boleh peroleh dari buku ini ialah kita perlulah sentiasa bersedia untuk berubah dan sentiasa bersikap terbuka untuk menghadapi setiap perubahan mengikut keadaan persekitaran, kerana ada kalanya perubahan itulah yang membawa kepada kehidupan yang lebih baik.