Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 12/2023 pada 17 Ogos 2023 (Khamis). Barisan panel pengulas ialah Puan Salmiah binti Kasmuni iaitu penulis buku Cinta Bangsawan dan Puan Azura binti Mohd Halid, Timbalan Pengarah (Sastera), Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan. Moderator bagi sesi kali ini ialah Saudari Siti Nuur Khaleeda binti Islahudin, pelajar latihan industri, Universiti Islam Antarabangsa, Kampus Pagoh, Johor.

Kedua-dua panel mengulas buku bertajuk Cinta Bangsawan yang ditulis oleh Puan Salmiah binti Kasmuni. Buku ini telah meraih tempat ketiga di Pertandingan Sayembara Menulis Novel khusus untuk Remaja anjuran Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan pada tahun 2019. Panel pertama, Puan Salmiah Kasmuni berkongsi mengenai intipati buku ini yang mengisahkan Sultan Abu Bakar dan Sejarah Negeri Johor di zaman pemerintahan baginda. Di atas kebijaksanaan dan kepimpinan baginda menjadikan Johor sebagai sebuah negeri yang tidak pernah dijajah oleh mana-mana kuasa asing. Sultan Abu Bakar merupakan tokoh yang terbilang dalam mentadbir negeri Johor dan mempunyai hubungan diplomatik yang baik antara dalam dan luar negara seperti contoh Acheh, Pahang dan lain-lain.

Baginda juga digelar sebagai Bapa Kemodenan Johor dan telah mewujudkan Mahkamah Syariah, Mahkamah Sivil, Pejabat Pos dan lain-lain lagi di negeri Johor. Antara sumbangan baginda ialah mewujudkan Askar Timbalan Setia Negeri Johor atau dikenali sebagai JMF. Sultan Abu Bakar mempunyai  empat (4) orang isteri iaitu Cik Wan Chik binti Muhammad Tahir, Cik Puan Zubaidah binti Abdullah, Fatimah binti Abdullah dan Khadijah Khanum. Penulis berharap menerusi pembacaan buku ini pembaca dapat menanamkan rasa kecintaan kepada negeri Johor dan tanah air serta semangat untuk mempertahankan tanah air dan negeri (Bangsa Johor) melalui ketokohan Sultan Abu Bakar.

Panel kedua, Puan Azura binti Mohd Halid menyatakan buku ini dihasilkan dengan baik berdasarkan plot cerita yang sangat kukuh dan rapi. Penggunaan tatabahasa yang tepat dan penggunaan aras bahasa yang mudah difahami menjadikan buku ini sesuai dibaca oleh semua lapisan masyarakat. Pada pandangan beliau jalan cerita di dalam buku ini menunjukkan kemahiran diplomasi dan komunikasi yang berkesan serta kebijaksaan dalam kepimpinan dapat menyelesaikan pelbagai isu seperti pentadbiran negeri, jalinan kerjasama antara negeri Johor dan negeri-negeri lain dan juga hal-hal berkaitan kekeluargaan dan perkahwinan serta rumah tangga.

Share this :