Seksyen Multimedia, Jabatan Perpustakaan UTM telah menganjurkan Kursus Reka Grafik yang melibatkan dua (2) sesi iaitu pada 16 Julai 2023 dan 27 Julai 2023 bertempat di Makmal Pencarian Maklumat, Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah. Kursus ini telah disertai hampir 60 orang peserta yang terdiri daripada staf Jabatan Perpustakaan UTM.

Pelaksanaan kursus ini bertujuan memberi pendedahan dan kemahiran dalam penyediaan rekabentuk dan infografik untuk media sosial jabatan atau bahagian. Penghasilan reka bentuk dan grafik yang menarik, kemas dan mudah difahami dapat membantu memberikan imej yang baik kepada jabatan. Selain itu, ia juga memberi persepsi positif dari aspek kefahaman kepada masyarakat awam terhadap bahan, perkhidmatan dan program-program yang dianjurkan jabatan.

Kursus dimulakan dengan pengenalan reka grafik daripada penceramah, En Muhammad Afiq Izzuddin Mat Jari berkenaan jenis–jenis rekaan yang biasanya digunakan bagi tujuan promosi, pemakluman dan sebagainya yang melibatkan aktiviti di Perpustakaan UTM. Sepanjang kursus ini berlangsung, peserta telah didedahkan dengan pengenalan, prinsip dan kaedah dalam reka bentuk, sumber-sumber atau bahan untuk penyediaan reka bentuk yang boleh diperolehi melalui web, penggunaan software dan aplikasi seperti Adobe Photoshop, Microsoft Power Point dan Canva dalam menyediakan reka bentuk dan info grafik.

Kursus ini turut menyediakan tugasan kepada peserta secara berkumpulan yang diselaraskan oleh En Farhan Yuskelana dalam menyediakan reka bentuk sebagai satu latihan serta membuat pembentangan dan perbincangan untuk penambahbaikan hasil tugasan tersebut.

Semua peserta yang menyertai kursus ini sangat responsif dan memberi maklumbalas yang sangat baik di atas penganjuran kursus kali ini. Perkara yang sangat penting adalah mengamalkan ilmu yang telah diperolehi bagi menambah kemahiran dan kecekapan dalam reka bentuk dan info grafik. Semoga kursus ini dapat membantu menaikkan imej dan merancakkan penyampaian maklumat dan perkhidmatan dalam media sosial bahagian atau jabatan dengan lebih menarik dan berinformasi.

Share this :