Kolej Datin Seri Endon, Universiti Teknologi Malaysia (KDSE) telah menganjurkan program khidmat masyarakat bersempena bulan kemerdekaan iaitu Program Aspirasi Semarak Cilik 2023 yang merupakan sub-program bagi Semarak Merdeka KDSE 2023. Program khidmat masyarakat ini telah diadakan di Sekolah Kebangsaan (LKTP) Pemanis 1, Segamat Johor pada 19 – 22 Ogos 2023.

Matlamat penganjuran program ini adalah untuk memupuk semangat cintakan negara dan ekspresi kemerdekaan pelbagai lapisan masyarakat meraikan Hari Kebangsaan Malaysia 2023 sejajar dengan tema kemerdekaan pada 2023 iaitu Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan.

Sehubungan itu, bagi merealisasikan matlamat program, sinergi antara Jabatan Perpustakaan UTM, Persatuan Pustakawan Kumpulan Selatan dan Perpustakaan Negara Malaysia telah menyumbangkan sebanyak 200 naskhah buku. Antara kategori buku ialah buku fiksyen, buku rujukan, buku pendidikan, buku am, sirah nabi, sejarah pahlawan dan lain-lain.

Sumbangan bahan bacaan telah disampaikan pada 16 Ogos 2023 oleh wakil Jabatan Perpustakaan UTM iaitu Puan Liza binti Porijo, Pustakawan Kanan, Seksyen Perkhidmatan Maklumat dan Puan Norhafisah binti Zakaria, Pustakawan Kanan, Seksyen Pengurusan Koleksi kepada jawatankuasa program khidmat masyarakat. Semoga sumbangan ini dapat membantu para pelajar mendalami dan menghayati sejarah kemerdekaan seterusnya mampu membangkitkan rasa cintakan tanah air.

Share this :