Dalam menghadapi tugasan seharian di pejabat, warga Perpustakaan UTM Kuala Lumpur semestinya tidak lari daripada penggunaan komputer dalam menyiapkan tugasan, laporan, dokumentasi mahupun penyediaan perangkaan dan statistik. Namun begitu, terdapat sebuah lagi elemen kerja yang sering dianggap enteng iaitu penyuntingan imej. Ramai beranggapan tugasan tersebut hanyalah digazetkan spesifik kepada pereka grafik dan tidak perlu diambil tahu oleh staf lain.

Namun begitu, zaman telah berubah. Keperluan kepada pengetahuan penyuntingan grafik adalah kritikal dalam menyiapkan pelaporan dan mereka bentuk poster sebagai ilmu tambahan. Justeru, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur mengambil inisiatif dengan mengadakan Kursus Asas Adobe Photoshop secara dalam latihan pada 1 November 2023 bertempat di Makmal Cyber Hub 1, UTM Digital Kuala Lumpur. Fasilitator bagi kursus ini adalah Encik Mohd Zaidi Othman, Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM KL dan dibantu oleh Encik Hairi Aziz, Pembantu Pustakawan dari Unit Aplikasi & Multimedia.

Kursus ini membantu para peserta untuk memahami secara asas fungsi perisian Adobe Photoshop selaku perisian paling popular dalam dunia penyuntingan imej dan grafik. Selain itu, peserta turut diberi tunjuk ajar mengenai fungsi tools yang terdapat di dalam Adobe Photoshop yang amat penting untuk melaksanakan kerja penyuntingan.

Modul terakhir kursus memerlukan para peserta untuk mereka poster bertemakan ‘UTM Library Event Poster’ mengikut kreativiti masing-masing. Tiga (3) orang peserta dipilih sebagai pemenang dengan rekaan poster paling kreatif.

Semoga dengan penganjuran kursus ini, staf Perpustakaan UTM Kuala Lumpur dapat memanfaatkan ilmu yang telah disampaikan untuk produktiviti kerja masing-masing kelak.

Share this :