Program BookSharing @UTMKL 2023/Siri 13 telah diadakan pada 9 November 2023 (Khamis). Seperti kebiasaannya, dua (2) orang akan dijemput selaku panel pengulas. Panel yang telah dijemput adalah Puan Nornazirah Binti Ashar (Penolong Pegawai Teknologi Maklumat, Pejabat Perkhidmatan Digital) dan Puan Sarah Nadeha Binti Samad (Penolong Jurutera, Pejabat Perkhidmatan Naib Canselor (Penyelidikan & Inovasi)).
Encik Mohd Azalan Bin Mohd Lazim (Pembantu Pustakawan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur) selaku moderator bagi sesi ini, telah menjemput Puan Nornazirah Binti Ashar bagi memulakan perkongsian. Beliau memilih buku Talk to Allah yang ditulis oleh Ayesha Shahira. Menurut beliau, buku ini pada asasnya mengajar konsep tentang ‘bercakap’ dengan Allah dan menjadikan doa menjadi kebiasaan dalam gaya hidup seharian tanpa ada rasa janggal dan terputus hubungan dengan Allah.
Dalam perkongsian itu, beliau menasihati penonton untuk sentiasa berkomunikasi dengan Allah dengan cara berdoa kepada-Nya dalam setiap perkara yang kita lakukan, setiap masa dan di mana-mana sahaja seperti yang disyariatkan. Apa yang boleh dipelajari dari buku ini ialah berdoa bukan sahaja ketika selepas solat tapi boleh di mana jua kita berada seperti yang diajar oleh nabi. Usaha juga diperlukan untuk mencapai cita-cita yang kita hajati setelah kita banyak berdoa. Walaupun kita seorang pendosa, kita masih lagi boleh berdoa dan memohon apa sahaja kepada Allah dengan syarat dosa yang dilakukan hendaklah kita bertaubat daripadanya. Kita juga mesti belajar untuk mengenali Allah, percaya dan yakin kepada Allah untuk doa kita dimakbulkan. Semakin banyak kita berdoa, semakin kita akan berusaha untuk mencapai apa yang kita doakan. Di samping itu, hubungan kita dengan Allah juga menjadi semakin erat.
Perkongsian seterusnya diteruskan oleh Puan Sarah Nadeha Binti Samad selaku pengulas kedua yang memilih buku bertajuk Bangkit daripada Sedih yang ditulis oleh seorang penulis dengan nama penanya Inche Lebah. Buku ini sesuai ditujukan khas kepada mereka yang sedang mengalami kesedihan dan kemurungan. Penggunaan ayat analogi, metafora, petikan ayat di dalam Al-Quran dan hadis Nabi Muhammad S.A.W. menambah tarikan kepada pembaca untuk pengisian rohani bagi menyuntik semangat baru.
Menurut beliau, manusia sering kali berputus asa jika segala yang diusahakan menemui kegagalan. Apabila ditimpa ujian, fikiran memaksa untuk berhenti daripada meneruskan usaha atau perjuangan. Pengulas mengajak penonton untuk menjadi orang yang hebat kerana orang yang hebat tidak akan berhenti dan menangisi kesilapan lalu selamanya tetapi dia akan bangkit dan belajar untuk tidak mengulangi kesilapan yang telah melukakan hatinya. Kita boleh bangkit daripada putus asa ini dengan cara perbanyakkan istighfar, menginsafi kesilapan diri, sibukkan diri dengan hal-hal lain atau aktiviti-aktiviti yang baru, serta mencari kawan yang lebih baik dan berpindah atau berubah kepada keadaan atau tempat yang lain.
Kesimpulannya, jalan itu kita tidak akan nampak dengan hati yang buta, tapi ia datang dari hati yang terbuka. Andai diberikan ujian, pasti Dia sediakan ganjaran. Bahkan hikmah adalah ganjaran terbesar bagi mereka yang sanggup berkorban dan masih kekal iman.