Program BookSharing @UTMKL 2023/Siri 14 telah diadakan pada 9 November 2023 (Khamis). Seperti kebiasaannya, dua (2) orang akan dijemput selaku panel pengulas. Panel yang telah dijemput adalah Encik Amirul ‘Aizad Salehuddin dari Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan Encik Mohd Saiful Azhar Mohd Adnan dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) UTM Kuala Lumpur (UTMKL).

Encik Nor Iman Ibrahim, Penolong Pustakawan Kanan, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTM KL) selaku moderator bagi sesi ini, telah menjemput Encik Amirul ‘Aizad bagi memulakan perkongsian. Beliau memilih buku bertajuk Sultan Muhammad Al-Fateh yang ditulis oleh Abdul Latib Talib. Menurut beliau, buku ini merupakan karya mengenai pahlawan Islam yang telah berjaya menakluki Kota Konstantinopel.

Menurut pengulas, Kota Konstantinopel ini telah banyak kali cuba ditawan oleh pemimpin Islam sebelumnya, tapi masih belum berjaya. Akhirnya, Kota tersebut telah berjaya ditakluk oleh Turki yang dipimpin oleh Sultan Muhammad pada hari Selasa, 29 Mei 1453. Untuk mencapai kejayaan gemilang itu bukanlah mudah bagi Sultan Muhammad. Beliau terkenal kerana telah menaiki takhta seawal usia 19 tahun dan kerana keberaniannya mengetuai 25 peperangan pada zaman pimpinannya. Banyak cabaran yang perlu dihadapi dan terdapat pelbagai pengajaran dari sudut kepimpinan yang boleh diambil untuk kita praktikkan.

Perkongsian seterusnya diteruskan oleh Encik Mohd Saiful Azhar Mohd Adnan yang telah memilih buku lebih santai terutamanya bagi pecinta kucing. Buku yang dipilih beliau bertajuk ‘Why Is My Cat Doing That’ yang ditulis oleh Sarah Heath. Buku ini sangat sesuai kepada cat lovers untuk lebih memahami sikap dan tabiat kucing yang dipelihara.

Penyampai turut berkongsi beberapa contoh sekiranya kucing tersebut menggeselkan ke badan manusia, ia bermaksud kucing tersebut seperti sedang mengucapkan hello dan ingin bermesra. Bukan semua kucing yang datang ke manusia untuk meminta makanan, sebaliknya mereka ingin memulakan interaksi.

Penulis telah memberi banyak contoh dan gambar dalam buku yang dapat membantu pembaca untuk lebih memahami tabiat dan sikap kucing. Penulis juga mengingatkan kepada pembaca bahawa kucing merupakan haiwan yang pembersih. Oleh itu,adalah penting bagi memastikan kawasan pembersihan mereka sentiasa bersih bagi mengelakkan kucing tersebut membuang najis meraka bukan di tempat yang sepatutnya. Kucing juga merupakan haiwan yang bersifat menyendiri, mereka lebih suka menghabiskan masa sendirian dan akan bermain mengikut mood mereka.

Share this :