Sesi Read & Relax, Siri 14/2023 di Perpustakaan UTM Johor Bahru telah dijalankan pada 12 Oktober 2023 (Khamis) dengan membawa dua (2) orang pengulas iaitu Encik Dzulhelmi Mohd Razali, Penolong Pendaftar Kanan, Fakulti Sains Sosial Dan Kemanusiaan, UTM dan Ustaz Mohamad Firdaus Pazim @ Fadzim, Pegawai Tadbir Kanan, Pusat Islam UTM. Manakala moderator bagi sesi ini ialah Dr. Myzairah Hamdzah, Pegawai Penyelidik dari Research Institute for Sustainable Environment, Jabatan Timbalan Naib Canselor, UTM.


Pengulas pertama iaitu Encik Dzulhelmi Mohd Razali memilih buku bertajuk Membaca: Motivasi & Kaedah. Menerusi buku ini, penulis berazam menjadikan pembaca lebih cemerlang, mahir menggunakan pelbagai kaedah pembacaan berbeza, dan akhirnya berkeupayaan membaca lebih 30 buku setahun, selari dengan matlamat yang digariskan untuk penduduk sebuah negara maju. Antara perkara yang dijelaskan di dalam buku ini adalah panduan yang boleh membantu pembaca dalam memperoleh motivasi untuk membaca dan juga menawarkan pelbagai kaedah dan strategi untuk membaca secara efektif.

Manakala pengulas kedua iaitu Ustaz Mohamad Firdaus Pazim @ Fadzim mengulas buku bertajuk Kitab Adab Mencakup 50 Adab Dalam 50 Keadaan. Secara umumnya, buku ini menggambarkan tentang adab yang perlu diketahui oleh orang Muslim dalam menjalin hubungan dengan Allah, sesama manusia dan alam sekitar. Panduan yang dimuatkan dapat membantu pembaca untuk memahami dan mengamalkan adab dalam kehidupan seharian sehingga dapat menjadi individu yang taat di sisi Allah dan saling hormat-menghormati sesama manusia.

Share this :