Program Bicara Karya yang berlangsung pada 30 Ogos 2023 (Rabu) ini adalah merupakan sinergi di antara Jabatan Perpustakaan UTM dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan. Bertajuk From Decolonization to Ethno-Nationalism, ia dijalankan secara dalam talian dan disiarkan melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Dua (2) orang panel jemputan khas untuk program ini terdiri daripada Dr. Tiong Ngee Derk dari Sunway University dan Cik Qaleeda Talib. Moderator program ini dikendalikan oleh Dr. Doria Abdullah, Pensyarah Kanan dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM.

Panel pertama Dr. Tiong Ngee Derk memulakan sesi bicara karya ini dengan memberikan pendapatnya mengenai buku ini dengan merujuk kepada proses pengajaran dan pembelajaran pada masa kini di mana ia lebih mudah berbanding dulu kerana sumber bahan dan maklumat boleh diperolehi melalui pelbagai medium samada digital atau bercetak. Menurut beliau, buku teks yang digunakan di sekolah hanya dikemaskini dan diulang cetak. Walau bagaimanapun, beliau berpendapat penggunaan buku teks masih relevan pada masa kini, malah beliau mengharapkan semua sumber pengajaran dan pembelajaran di sekolah perlu saling melengkapi dan saling berkaitan antara satu sama lain untuk meningkatkan pemahaman para pelajar. Tentang buku penulisan Dr. Santhiram pula, beliau berpendapat adalah lebih baik sekiranya pengarang buku memberikan lebih banyak butiran kaedah analisis secara terperinci dan jelas untuk dijadikan rujukan bagi menghasilkan sesebuah buku yang baik.

Panel kedua iaitu Cik Qaleeda Talib pula berkongsi pendapatnya mengenai perbezaan silibus subjek Sejarah di Malaysia dan luar negara. Sebagai contoh, peperiksaan subjek Sejarah di Malaysia perlu dinyatakan dalam bentuk point tertentu namun di luar negara lebih kepada membuat hujah tentang sesuatu perkara. Panel juga berpendapat bahawa, buku ini tidak sepenuhnya berformat akademik, perlu lebih banyak butiran tentang sesuatu peristiwa dan perlu disertakan bukti-bukti bagi setiap apa yang dinyatakan. Selain itu, panel juga menyatakan penulis buku perlu menyatakan rujukan-rujukan yang diambil semasa menyiapkan buku ini. Walau bagaimanapun, panel ada menyatakan bahawa buku ini berguna sebagai rujukan ringkas untuk mereka yang baru hendak mengenali sistem pendidikan sejarah di Malaysia.

Share this :