Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE) sinergi bersama Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah berjaya mengadakan program Corporate Social Responsibility (CSR) di Sekolah Kebangsaan Belokok, Pontian pada 3 Januari 2024 (Rabu). Program ini dianjurkan oleh Institutions of Engineering and Technology Universiti Teknologi Malaysia (UTM IET) dan diberi nama Byte of Brilliance 2024.  Program ini berfokus kepada elemen STEM iaitu Science, Technology, Engineering dan Mathematics serta berkonsepkan humanitarian.

Pelajar tahap 2 (darjah 4, 5 dan 6) secara khususnya telah diperkenalkan kepada penggunaan Microbit dan dalam masa yang sama turut didedahkan kepada kemahiran Problem Solving Thinking Skills. Aspek kemanusiaan juga diberi penekanan di dalam program ini kepada semua pelajar sekolah tersebut. Secara tidak langsung, para pelajar dapat mengasah kemahiran berkomunikasi mereka.

Seramai 10 orang staf dari JPUTM telah bersama-sama menjalankan aktiviti berkonsepkan seperti di atas bagi tahap 1 dan Pra-Sekolah. Manakala staf dari FKE pula diwakili oleh para mahasiswa mereka sebagai penggerak aktiviti bagi pelajar tahap 2. Antara aktiviti yang dijalankan oleh JPUTM adalah seperti pertandingan melukis model angkasawan, meneka jumlah gula-gula dalam balang, dan pertandingan meneka gambar yang dilukis.

Kemeriahan program ini dapat dirasai dengan sambutan pelajar terhadap aktiviti-aktiviti yang dijalankan di mana mereka melaksanakan aktiviti tersebut dengan bersungguh-sungguh dan memberikan kerjasama yang cukup baik. Di samping itu, pihak JPUTM dan FKE turut menyediakan cenderahati kepada para peserta aktiviti sebagai galakan dan perangsang untuk mereka memberikan yang terbaik sepanjang aktiviti dijalankan.

Pihak JPUTM turut berbesar hati menyumbang sebanyak 35 naskhah buku bacaan ringan kepada pihak sekolah.

Program ini disambut baik oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah Pontian di mana majlis penutup program ini telah disempurnakan oleh Pegawai Pendidikan Daerah Pontian sendiri, iaitu Hj. Abd. Rahman bin Salleh. Dalam ucapannya, beliau sangat terharu terhadap pernglibatan staf dan pelajar UTM di dalam program seperti ini dan berkongsi ilmu tentang teknologi bersama guru-guru serta murid-murid.

Beliau memberikan sokongan sepenuhnya kepada program sebegini dan berharap agar pihak UTM dapat bekerjasama lagi untuk program sebegini dan melibatkan sekolah-sekolah lain di daerah Pontian. Majlis penutup ini turut dihadiri Dekan FKE, Prof. Dr. Prof. Dr. Jafri bin Din, yang turut menyokong program Byte of Brilliance. Turut hadir dalam majlis ini iaitu Encik Samsul Satari, Guru Besar SK Belokok, diikuti oleh wakil dari pihak FKE, Ts. Dr. Rashidah Arsat sebagai penasihat IeT on Campus, dan wakil dari JPUTM iaitu Pn. Siti Marlia Abd Rahim dan Encik Salihuddin Bakri.

Semoga dengan penganjuran program seperti ini akan membuka lebih banyak peluang sinergi di antara JPUTM dan fakulti-fakulti di UTM untuk menganjurkan program khidmat masyarakat di luar UTM, sekaligus mengeratkan lagi hubungan di antara masyarakat luar dan UTM sebagai sebuah intitusi pendidikan dan penyelidikan yang mesra komuniti dan mampu menginovasi penyelesaian terhadap apa-apa isu yang melibatkan masyarakat.

Share this :