Jawatankuasa Induk Persekitaran, Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP), Jabatan Perpustakaan UTM dengan kerjasama Bahagian Bomba dan Penyelamat Skudai, Bahagian Keselamatan, Seksyen Projek dan Penyenggaraan (SPP) serta Pusat Kesihatan UTM telah mengadakan Taklimat dan Latihan Kebakaran Jabatan Perpustakaan UTM pada 27 Disember 2023 (Rabu) di Bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Jabatan Perpustakaan UTM. Program ini diadakan bertujuan untuk memberi pendedahan dan pengetahuan kepada staf dan pengguna umumnya dan Pasukan Tindakan Kecemasan (ERT) perpustakaan khususnya sebagai responden pertama mengenai tindakan yang perlu diambil dan pematuhan arahan semasa menghadapi sebarang kes kecemasan.

Pasukan ERT terlebih dahulu diberikan taklimat bagi menjalankan latihan kebakaran. Oleh itu, satu (1) taklimat rawatan kecemasan telah disampaikan oleh En. Amiruldin Abdul Aziz, Penolong Pegawai Perubatan Kanan dari Pusat Kesihatan Universiti seawal jam 8.20 pagi. Beliau telah menerangkan fungsi Cardiopulmonary resuscitation (CPR), tanggungjawab pertugas pertolongan cemas dan demonstrasi cara balutan kain anduh lengan yang betul.

Seterusnya, barisan ERT telah diberikan taklimat pengungsian bangunan dan simulasi oleh Bahagian Keselamatan. Turut hadir dalam menyampaikan taklimat ialah Encik Mohd Adi bin Md Sanif dan Encik Mohd Azmi bin Miskam daripada Bahagian Keselamatan, UTM. Beliau telah menerangkan fungsi dan tanggungjawab barisan ERT, laluan pintu kecemasan di bangunan PRZS dan cara penggunaan walkie- talkie kepada barisan ERT yang terlibat.

Program pengungsian bangunan dan latihan kebakaran dijalankan bermula pada jam 11.00 pagi berdasarkan pelan perancangan insiden yang telah disusun oleh Jawatankuasa Induk Pasukan ERT. Sistem penggera keselamatan dibunyikan dan semua penghuni berjaya keluar dari bangunan dalam tempoh yang telah ditetapkan.

Pasukan Bomba dan Penyelamat Cawangan Skudai turut sama menjayakan latihan kebakaran dan menyampaikan perkongsian serta demonstrasi memadam kebakaran, pameran kelengkapan peralatan memadam kebakaran kepada staf dan pengguna.

Semoga taklimat dan latihan ini memberi informasi berguna kepada para peserta bagi menguruskan situasi kecemasan dengan cekap dan meminimumkan sebarang risiko kemalangan jiwa.

Share this :