Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) sinergi bersama Friends of UTM Library (FLUTM) telah menganjurkan program K-Sharing bertajuk Jurang Dalam Pendidikan Awal: Perspektif dari Malaysia & Indonesia dengan menampilkan panel dari dua (2) buah negara iaitu Sri Wiji Handayani dari Universitas Negeri Semarang, Indonesia dan juga Dr. Zakiah Mohamad Ashari dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia.

Moderator bagi program hari ini ialah Muhammad Nur Azam bin Ghazali yang merupakan ahli FLUTM dan juga pelajar PhD dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia. Program ini diadakan pada 22 Januari 2024 (Isnin) ini telah disiarkan secara langsung melalui laman Facebook dan Youtube JPUTM.

Jurang pendidikan awal dari perspektif Malaysia dan Indonesia dapat ditelusuri berdasarkan dari beberapa aspek. Dr. Zakiah Mohamad Ashari di dalam penerangannya menyatakan bahawa dari segi kebolehcapaian, Malaysia boleh dikatakan mempunyai banyak sekolah dan institusi pendidikan awal yang disediakan oleh kerajaan.

Di pihak Indonesia, Sri Wiji Handayani menyatakan bahawa Indonesia masih menghadapi cabaran dalam menyediakan akses kepada pendidikan awal persekolahan untuk anak-anak, terutamanya di kawasan luar bandar disebabkan faktor geografi dan beberapa faktor lain.

Seterusnya, panel dari Malaysia turut menjelaskan bahawa sekolah-sekolah di Malaysia umumnya dilengkapi dengan fasiliti yang mencukupi, seperti bilik darjah yang selesa, perpustakaan dan kemudahan sukan. Namun, situasi yang sedikit berbeza di negara tetangga Indonesia, apabila panelnya menjelaskan bahawa kemudahan asas persekolahan untuk pendidikan awal masih perlu dipertingkatkan dari sudut penyediaan fasiliti oleh pemerintah Indonesia.

Melihat pula kepada sistem kurikulum pendidikan awal, Malaysia memberi tumpuan kepada pembangunan kemahiran sosial, kognitif dan skil motor kanak-kanak. Panel turut memaklumkan bahawa kementerian yang dipertanggungjawabkan sedang merangka tiga (3) pendekatan baharu melibatkan pendidikan karakter, penekanan literasi dan numerasi serta kelas pembelajaran bersepadu.

Sementara di Indonesia, mereka mengaplikasikan Sistem Kurikulum Merdeka yang juga dikenali sebagai kurikulum bebas di mana ia merupakan kaedah pembelajaran yang merujuk kepada pendekatan bakat dan minat. Terdapat tiga (3) pilihan untuk melaksanakan kurikulum ini yang boleh dilaksanakan di sekolah iaitu Pembelajaran Berdikari, Perubahan Berdikari, dan Perkongsian Berdikari.

Selain daripada itu, aspek latar belakang pendidikan tenaga pengajar turut memainkan peranan yang penting. Tenaga pengajar atau guru di Malaysia secara umumnya mempunyai pendidikan formal dan menerima latihan khas dalam pendidikan awal kanak-kanak. Manakala menurut Sri Wiji Handayani, tenaga pengajar pendidikan yang terlatih secara khusus dalam bidang pendidikan awal kanak-kanak di Indonesia boleh dikatakan masih terhad dan boleh dipertingkatkan jumlahnya, sesuai dengan situasi persekolahan di masakini yang melibatkan jumlah murid yang ramai.

Secara keseluruhan, kedua-dua panel berpendapat kaedah atau teknik terbaik ialah merancang pembangunan guru dan memberi peluang kepada mereka untuk menjalani latihan dalam bidang perguruan secara berfasa bagi meningkatkan tahap profesionalisme di mana ia sangat penting untuk mereka menambahbaik dan meningkatkan kemahiran serta bakat sedia ada. Walaupun terdapat perbezaan dalam beberapa perkara yang bersifat teknikal, Malaysia dan Indonesia hakikatnya komited dan berusaha keras untuk meningkatkan akses dan kualiti pendidikan awal kanak-kanak.

Pelbagai usaha terus dilakukan dalam merapatkan jurang kualiti pendidikan awal kanak-kanak di kedua-dua negara dan memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang yang sama untuk menerima pendidikan awal yang berkualiti.

Share this :