Siri kedua program Read & Relax telah dianjurkan sinergi bersama Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru (JPUTM) dan UTM Toastmasters Club (UTM TMC) yang berlangsung pada 1 Februari 2024 (Khamis) dengan menampilkan panel pengulas yang terdiri daripada ahli UTM TMC iaitu Dr Nor Ain Husein, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains, UTM dan Dr. AbdulMumini Inda, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM. Manakala moderator bagi siri ini adalah Athirah Zulkarnain, pelajar PHD dari Fakulti Sains, UTM.

Program ini dimulakan dengan panel pertama iaitu Dr. AbdulMumini Inda yang telah mengulas buku bertajuk The 8th Habit: From Effectiveness to Greatness yang dikarang oleh Stephen Covey. Menurut panel, penulis buku ini membawa pembaca untuk mengenal pasti kekuatan dan kelebihan yang ada pada diri dalam apa jua bidang dan seterusnya memberi sumbangan dan manfaat kepada yang lain. Selain itu, panel menerangkan perkara ini akan menjadi lebih baik dan sempurna sekiranya keseimbangan antara kerja dan urusan peribadi dicapai. Secara keseluruhannya, The 8th Habit ialah buku yang merangsang pemikiran dan memberi inspirasi kepada pembaca sekali gus menggalakkan pembaca berfikir di luar peranan dan tanggungjawab semasa mereka supaya mereka berusaha untuk mencapai kehebatan sebenar dalam semua bidang kehidupan mereka.

Seterusnya, moderator menjemput panel kedua, Dr Nor Ain Husein bagi mengulas buku berjudul The Courage to be Disliked yang ditulis oleh Ichiro Kishimi dan Fumitake Koga. Panel mengatakan bahawa buku ini dapat dijadikan panduan untuk membina keyakinan diri dalam mengharungi liku-liku kehidupan. Selain itu, penulis menerangkan teori psikologi Adler menggunakan bahasa dan contoh yang mudah untuk difahami. Terdapat beberapa perkara yang perlu ditekankan dan dihayati seperti sikap pemaaf, self-care dan menjaga kesejahteraan minda untuk mencapai ketenangan dan kebahagian dalam hidup. Secara keseluruhan, buku ini mampu mendorong pembaca untuk menjadi lebih baik dari hari sebelumnya serta dapat menangani semua perkara dengan lebih positif.

Share this :