Program Perkongsian Ilmu anjuran Jabatan Perpustakaan Universiti Teknologi Malaysia (JPUTM) telah berlangsung pada 14 Februari 2024 (Rabu), bermula dari jam 11.00 pagi sehingga 12.00 tengah hari. Topik yang telah dikongsikan bertajuk Sustainable Skies: Unveiling the Benefits & Impacts of Satellites. Panel jemputan adalah Profesor Dr. Jafri Din, Dekan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Johor Bahru dan moderator adalah Profesor Madya Dr. Kamaludin Mohamad Yusof, Pengurus Akademik Program Luar, Fakulti Kejuruteraan Elektrik, UTM Johor Bahru.

Perkongsian dimulakan dengan penerangan oleh panel jemputan mengenai teknologi satelit yang memainkan peranan sangat penting dalam pelbagai aspek seperti komunikasi, pemantauan cuaca dan alam sekitar. Salah satu aspek utama yang diketengahkan oleh panel ialah peranan penting yang dimainkan oleh satelit dalam navigasi dan kedudukan. Melalui sistem penentu kedudukan global (GNSS) seperti NAVSTAR Global Positioning System (GPS), individu boleh menentukan lokasi tepat mereka di mana-mana sahaja di dunia. Sistem ini digunakan dalam navigasi, penentu kedudukan, dan pengesanan kenderaan. Selain itu, ketika kecemasan satelit terbukti sangat penting dalam membantu misi mencari dan menyelamat dengan menjejaki isyarat mercu yang dipancarkan daripada suar kecemasan pada pesawat atau kapal yang terkandas.

Selain itu, satelit juga memainkan peranan penting dalam mengenal pasti bencana alam seperti banjir, gempa bumi, dan kebakaran hutan. Dengan menggunakan data satelit, pasukan tindak balas dapat mengambil tindakan dengan segera. Dalam situasi krisis, satelit membantu dalam menjejaki keberadaan mangsa, memastikan bantuan dihantar tepat di tempat yang diperlukan. Dari segi telekomunikasi dan sambungan internet pula, satelit memastikan bahawa walaupun kawasan terpencil dan luar bandar juga akan dapat di akses dan dicapai. Kebolehcapaian ini menyokong kepada kemajuan pendidikan, penjagaan kesihatan dan pembangunan ekonomi keseluruhan negara. Selain itu, satelit juga memberikan akses kepada maklumat global dan sumber pembelajaran jarak jauh, secara tidak langsung dapat menyumbang kepada kemajuan pendidikan dan peningkatan ilmu pengetahuan. Dari sudut keselamatan negara, satelit berfungsi sebagai alat untuk memantau aktiviti ketenteraan dan memudahkan komunikasi dalam pasukan tentera.

Panel juga menjelaskan bahawa satelit adalah teknologi yang memberi sumbangan kepada kelestarian dan pembangunan global, serta memainkan peranan penting dalam kehidupan moden kita. Dengan adanya teknologi satelit, kita dapat bekerja menuju kelestarian dan pembangunan yang mampan bagi generasi akan datang. Semoga program ini memberi pencerahan dan kesedaran kepada semua rakyat Malaysia mengenai peri pentingnya satelit dalam dunia masa kini.

Share this :