Pengurusan masa adalah amat penting dalam sesebuah organisasi kerana ia membantu dalam meningkatkan efisiensi dan produktiviti dalam kalangan staf. Melalui perancangan dan penyusunan jadual yang teliti, staf dapat menyelesaikan kerja mereka dengan lebih berkesan. Sebagai seorang staf di Perpustakaan UTM yang bertugas di kaunter perpustakaan, amatlah penting bagi mereka untuk mempunyai jadual bertugas yang sistematik dan teratur bagi mempercepatkan proses penyediaan perkhidmatan kepada pengguna. Justeru, penyelaras jadual perlulah cekap dalam menguruskan sistem kalendar supaya staf dapat mengurus sumber perpustakaan dengan cekap, dan dapat mengekalkan kredibiliti perpustakaan yang sedia ada.
Dengan itu, pihak Seksyen Pengurusan Koleksi, Perpustakaan UTM telah mengadakan Kursus Refreshment untuk Sistem Perkhidmatan Perpustakaan (LSS) bagi Modul circulation calendar pada 21 Februari 2024 (Rabu) yang bertempat di Makmal Pencarian Maklumat, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah Johor Bahru. Kursus yang melibatkan 16 orang peserta ini juga bersiaran secara langsung melalui aplikasi Webex dari Perpustakan Sultanah Zanariah Kuala Lumpur bersama penyelaras jadual perpustakaan di sana.
Fasilitator kursus ini adalah En. Mohamad Fahiezan Md Zan yang merupakan Pustakawan Kanan, Unit Sistem Aplikasi Perpustakaan dan dibantu oleh Cik Aida Nadhirah Rodzuan, Pustakawan, Unit Sistem Aplikasi Perpustakaan dan En. Ahmad Luqman Abdul Hamid, Pembantu Pustakawan, Unit Sistem Aplikasi Perpustakaan. Kursus refreshment ini mengetengahkan sub-modul utama Modul Circulation Calendar iaitu sub-modul Group, Timeslot, Generate dan juga Overview. Sub-modul ini penting dalam proses penjanaan kalendar di sistem LSS.
Kursus ini diteruskan dengan sesi perbincangan oleh Pustakawan Seksyen Pengurusan Koleksi, Puan Norhafisah Zakaria bersama penyelaras – penyelaras jadual dalam membina formula dan susun atur giliran untuk staf yang bertugas di kaunter perpustakaan.
Diharapkan dengan adanya kursus refreshment ini, penyelaras jadual dapat menguruskan jadual pembantu pustakawan dengan lebih cekap dan sistematik serta permasalahan yang melibatkan Sistem LSS dapat dikurangkan pada masa hadapan.