Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menerima kunjungan lawatan kerja daripada Pusat Sumber Jabatan Mufti Johor pada 5 Mac 2023 (Selasa) yang terdiri daripada lima (5) orang kakitangan staf Pusat Sumber Jabatan Mufti Johor. Lawatan kerja ini bertujuan untuk mendapatkan rujukan dan input daripada Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) bagi meningkatkan mutu perkhidmatan dan penambahbaikan kerja di Pusat Sumber Jabatan Mufti Johor.

Sesi lawatan dimulakan dengan menjemput para pelawat ke Bilik Mesyuarata Utama, Aras 3, Perpustakaan Sultanah Zanariah. Kata-kata aluan telah disampaikan oleh Encik Yusrul Hisham Mohd Yusof, Ketua Seksyen, Bahagian Automasi dan Multimedia, JPUTM selaku ketua petugas lawatan pada sesi ini. Kemudian, ia disusuli dengan tayangan video korporat JPUTM serta penerangan mengenai Perpustakaan UTM oleh Puan Nas Rashidah Mohd Mustaza, Pustakawan, Unit Korporat & Bisnes Strategik.

Ustaz Mohd Naim Sahari menerima cenderahati daripada Encik Yusrul Hisham Mohd Yusof, Ketua Seksyen Automasi & Multimedia

Seterusnya, Encik Muhammad Azmi Khalib, Pustakawan, Unit Sistem Pengurusan Perpustakaan telah menyampaikan taklimat ringkas berkenaan pembangunan Sistem KOHA di mana buat masa sekarang, ia merupakan sistem induk yang digunapakai perpustakaan untuk segala urusan melibatkan perkhidmatan di kaunter dan juga pengkatalogan bahan. Manakala Cik Hamizah Sumin, Pustakawan, Unit Katalog telah memberi penerangan serba sedikit berkenaan Sistem Pengurusan Katalog dan pembentangan terakhir berkenaan penyusunan Koleksi Bahan pula telah disampaikan oleh Puan Norhafisah Zakaria, Pustakawan, Unit Sirkulasi.

Pada akhir sesi lawatan ini, pelawat telah dibawa ke ruang-ruang eksklusif di bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah dan penerangan mengenai fungsi ruang-ruang seperti koleksi peta, bilik karel, Ruang Interaktif dan lain-lain telah disampaikan oleh Puan Nur Nazurah Nordin, Pustakawan, Unit Promosi.

Semoga dengan lawatan yang dijalankan ini, pihak Jabatan Mufti Johor dapat mengambil input yang berguna dari pihak JPUTM dalam usaha untuk mempertingkatan kualiti perkhidmatan khususnya di pusat sumber mereka.

Share this :