Pada 12 Mac 2024 (Selasa), Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PUTMKL) telah menerima kunjungan daripada Profesor Ts. Dr. Abd Latif Saleh dalam sesi Libat Urus Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur). Sesi dialog yang berlangsung selama lebih kurang tiga (3) jam ini merupakan satu platform perbincangan produktif antara pihak Pengurusan UTM Kampus Kuala Lumpur dan Perpustakaan UTM Kampus Kuala Lumpur.

Perjumpaan ini turut dihadiri oleh semua pustakawan yang diketuai oleh Puan Nik Masriza Zakaria selaku Ketua Jabatan Perpustakaan UTM Kampus Kuala Lumpur. Pertemuan ini telah membuka ruang diskusi untuk membincangkan cadangan dan strategi penambahbaikan berterusan terhadap perkhidmatan Perpustakaan, dengan memberi tumpuan kepada kemudahan terkini yang disediakan kepada pengguna serta isu-isu yang boleh diselesaikan berkaitan dengan fasiliti, bagi memastikan kepuasan pengguna.

Pro-Naib Canselor (Kampus UTM Kuala Lumpur) telah mencadangkan agar ruang perpustakaan dimanfaatkan sebaik mungkin oleh pelajar dan mencari kaedah untuk menarik minat pelajar supaya lebih ramai yang mendapatkan manfaat daripada perpustakaan secara optimum. Antara langkah awal yang boleh dilaksanakan ialah dengan menubuhkan sebuah ruang cafe atau menyediakan mesin penjual minuman (vending machine) untuk keselesaan dan kemudahan pelajar. Selain itu, perkhidmatan fotokopi atau pencetakan layan diri juga boleh diperkenalkan untuk memberikan nilai tambah kepada kemudahan pengguna.

Seterusnya, beliau juga menggalakkan penggunaan peralatan digital bagi memudahkan urusan kerja di perpustakaan. Beliau telah melawat ke semua ruang pengguna dan kerja perpustakaan untuk mengenal pasti sendiri masalah dan cabaran yang dihadapi, dengan tujuan untuk meningkatkan mutu perkhidmatan. Cadangan pembelian alat RFID Reader untuk penyusunan bahan dengan lebih tepat atau stocktake serta alat kawalan kelembapan udara (dehumidifier) bagi mengawal suhu dan kelembapan bahan perpustakaan akan dikemukakan kepada pihak perpustakaan. Selain itu, keadaan ruang solat terutamanya tempat mengambil wuduk yang tersumbat serta masih dalam proses penyelenggaraan turut mendapat perhatian beliau untuk segera diatasi bagi meningkatkan kemudahan pengguna.

Semoga sesi libat urus ini dapat memberi informasi berkenaan peranan dan hala tuju perpustakaan yang disampaikan dengan jelas serta memastikan matlamat yang ditetapkan dapat dicapai untuk mencipta impak positif yang berpanjangan bagi memperoleh kecemerlangan dan membawa institusi perpustakaan ke tahap yang lebih tinggi.

 

Share this :