Sejak berakhirnya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) rancak menerima kunjungan lawatan daripada pelbagai organisasi termasuklah sekolah, persatuan, dan institut pengajian tinggi dari dalam dan luar negara. Oleh itu, kaedah mengurus pelawat yang sistematik perlulah dirangka bagi memastikan para pelawat mendapat input yang secukupnya mengenai perpustakaan sekaligus meninggalkan impak kepada mereka. Justeru, kursus pengendalian lawatan berpandu akademik telah dianjurkan oleh Unit Promosi, Seksyen Perkhidmatan Maklumat, Jabatan Perpustakaan UTM.

Objektif kursus ini diadakan adalah untuk melahirkan staf yang berkeyakinan dan berketrampilan di samping menyediakan staf dengan pengetahuan maklumat terkini tentang JPUTM dan semua seksyen di perpustakaan. Kursus ini telah diadakan pada 19 Mac 2024 (Selasa) bertempat di Bilik Tayangan, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Kursus yang melibatkan keseluruhan staf di Bahagian Perkhidmatan ini telah berlangsung bermula jam 8.45 pagi dan berakhir pada 12.45 tengah hari.


Sesi ini dimulakan dengan pembentangan dari Puan Nur Nazurah Nordin, Pustakawan Unit Promosi yang berkongsi serba sedikit tentang latarbelakang kursus, tatacara komunikasi berkesan dan tatacara berpakaian berpandukan Etika Berpakaian dan Penampilan ke Pejabat yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftar UTM. Seterusnya, kursus ini diteruskan dengan Modul Lawatan Akademik Berpandu yang menerangkan tentang tatacara permohonan lawatan dan juga pengekalan jenis lawatan kepada semua staf bahagian perkhidmatan. Seusai itu, ianya diteruskan dengan Modul Perkhidmatan Runding Rujuk yang berfokus kepada servis-servis yang ditawarkan kepada pengguna oleh JPUTM yang disampaikan oleh Encik Mohd Fikri Yusof, Pustakawan, Unit Perundingan Maklumat.

Seterusnya, Dr. Nazrinda A. Samah, Pustakawan, Unit Penyelidikan Galeri telah berkongsi serba sedikit maklumat dan informasi yang terkini tentang Galerium UTM dan juga galeri-galeri yang berada di kedua-dua bangunan JPUTM. Terdapat juga maklumat-maklumat sejarah asal bagi penubuhan Galeri Koleksi Khazanah Intelektual Johor (KKIJ) dan Galeri Raja Zarith Sofiah. Modul terakhir bagi kursus hari ini ialah Modul Keahlian Perpustakaan termasuk Modul Pinjaman dan Dendaan yang disampaikan oleh Puan Norhafisah Zakaria, Pustakawan, Unit Sirkulasi. Terdapat pelbagai kategori keahlian luar yang telah diterangkan secara terperinci oleh Puan Norhafisah Zakaria.


Sesi kursus ini diakhiri dengan simulasi lawatan yang diketuai oleh Pustakawan Unit Promosi, Puan Nur Nazurah Nordin. Para peserta telah di bawa dan diberi penerangan mengenai setiap ruang, bilik dan perkhidmatan yang disediakan oleh JPUTM. Diharapkan dengan perkongsian ilmu pada hari ini sedikit sebanyak dapat memberi input-input yang bermanfaat kepada semua peserta dan juga diharapkan para peserta dapat mengaplikasikan pengetahuan yang diperoleh dalam menjalankan tugas lawatan berpandu dengan lebih efektif.

Share this :