Sinergi Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan Program Ijtihad Pustaka bagi siri kedua bertajuk Konsep Fiqh Kepenggunaan dengan menampilkan panel jemputan iaitu Dr. Nur Izzati Mohamad Norzilan, Pensyarah Kanan Akademik Tamadun Islam, Universiti Teknologi Malaysia Johor Bahru. Moderator bagi program ini ialah Encik Syafiq Zulakifli, Pensyarah, Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim.


Program ini diadakan pada 20 Mac 2024 (Rabu) dan telah disiarkan secara dalam talian melalui laman rasmi Facebook dan Youtube Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM). Sebagai pengenalan, fiqh kepenggunaan ialah sesuatu yang menjadi amalan dalam kehidupan seharian. Selain itu, ilmu tentang fiqh kepenggunaan Islam merupakan satu keperluan asas untuk memperkemaskan disiplin kepenggunaan semasa berasaskan maqasid syariah dan menjamin keharmonian masyarakat.


Menurut Dr. Nur Izzati Mohamad Norzilan, konsep fiqh kepenggunaan dan konsep kepenggunaan konvensional ialah dua (2) pendekatan yang berbeza. Konsep fiqh kepenggunaan lahir daripada epistemologi Islam, iaitu al-Quran dan al-Hadis, manakala konsep kepenggunaan konvensional pula berdasarkan hujah akal dan rasional pemikiran pengasas pemikiran falsafah sains sosial semata-mata serta boleh berubah-ubah dan tidak kekal. Oleh itu, konsep fiqh kepenggunaan yang dibincangkan dalam buku ini adalah berasaskan konsep kepenggunaan Islam itu sendiri. Bagi memperkenalkan suatu frasa baharu, buku ini membincangkan beberapa perkara utama seperti definisi konsep fiqh kepenggunaan, falsafah fiqh kepenggunaan, prinsip fiqh kepenggunaan, etika fiqh kepenggunaan, tingkat fiqh kepenggunaan berasaskan maqasid syariah, matlamat fiqh kepenggunaan dan kekuatan konsep fiqh kepenggunaan. Semua perkara berikut kemudiannya dijadikan tema perbincangan dalam buku ini.


Seterusnya, beliau turut menyatakan terdapat tiga (3) konsep fiqh kepenggunaan antaranya ialah kebajikan, kesederhanaan dan ihsan serta memberi contoh yang berkait rapat dalam kehidupan bagi ketiga-tiga konsep ini. Antaranya berkongsi rezeki terutamanya dengan keluarga terdekat, sentiasa bersederhana dan elakkan pembaziran serta mempunyai rasa empati serta cakna dengan keadaan sekeliling. Berdasarkan buku ini, Dr. Nur Izzati Mohamad Norzilan berpendapat tentang pentingnya untuk mendidik masyarakat tentang halal dan haram bagi sesuatu perkara.


Pada akhir sesi, beliau menjelaskan perkaitan antara nilai-nilai etika penggunaan dalam Islam dan bagaimana hubungan kita dengan Allah seharusnya dipelihara. Semoga melalui perkongsian ini, penonton yang mengikutinya dapat lebih memahami betapa pentingnya etika kepenggunaan dalam Islam dan bagaimana nilai-nilai ini seharusnya menjadi panduan dalam setiap keputusan yang diambil dalam kehidupan.

Share this :