4 April 2024, Khamis – Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah menganjurkan Program Book Sharing Siri 3/2024. Seperti kelazimnya, program ini menampilkan dua (2) orang panel yang akan berkongsi buku bacaan mereka kepada para penonton. Siri kali ini, PSZKL telah sinergi bersama Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT) dan juga Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) (JTNCP). Dua orang kakitangan telah dijemput bagi berkongsi buku kegemaran mereka secara tidak langsung ianya memberi peluang kepada Puan Akmalaini Ahmad, Pegawai Kewangan, MJIIT dan Encik Muhammad Shahrul Nizam Abdul Ghani, Penolong Jurutera, JTNCP untuk membuat perkongsian.
Moderator pada sesi kali ini ialah Encik Zaidi Othman, Pustakawan, PSZKL. Program kali ini dimulakan dengan menjemput panel pertama Puan Akmalaini Ahmad yang memilih untuk berkongsi buku Tariq Ibn Ziyad: Penakluk Andalusia. Menurut beliau, buku ini menarik perhatian beliau kerana penggunaan bahasa yang sangat ringan dan setiap pembaca mampu menjiwai jalan cerita di dalam buku ini. Seterusnya, panel menceritakan latar belakang Tariq Ibn Ziyad, beliau merupukan seorang panglima perang yang memainkan peranan sentral dalam penaklukan Andalusia (semenanjung Iberia) pada abad ke-8. Beliau juga berketurunan Barbar iaitu satu kelompok etnik yang menghuni Afrika Utara sebelah barat Lembah Nil. Beliau asalnya adalah seorang anak yatim piatu dan kemudian dijual sebagai budak suruhan/hamba namun beliau telah dibebaskan oleh Gabenor Afrika, Musa bin Nusair dan diislamkan bukan sahaja itu malah Musa telah mengajar beliau pelbagai ilmu antaranya persenjataan, peperangan, menunggang kuda dan akhirnya diberi kepercayaan menjadi seorang panglima.
Panel meneruskan lagi perkongsian dengan menceritakan segalanya bermula apabila Panglima Julian, Gabenor Andalus memohon bantuan daripada Musa bin Nusair dan tentera Islam untuk menewaskan tentera Gotik di bawah pemerintahan Raja Roderiga yang kejam. Musa telah mengamanahkan Panglima Tariq untuk memimpin pasukan peninjau yang berjumlah 12 ribu orang tentera. Peperangan itu berakhir dengan kemenangan mudah kerana kebijaksanaan Panglima Tariq itu sekaligus mengorbankan Raja Roderiga.
Di akhir perkongsian, beliau menyifatkan faktor kejayaan Tariq Ibn Ziyad ini adalah kerana dua (2) faktor iaitu pemilihan tentera yang terbaik dan patuh pada perang peraturan dalam islam. Beliau menyarankan agar pendengar sama-sama membaca buku ini kerana ianya mampu menyelami semangat perjuangan orang Islam demi menyebarkan agama Islam ke serata dunia.
Perkongsian diteruskan lagi dengan panel kedua iaitu Encik Muhammad Shahrul Nizam Abdul Ghani yang memilih buku Ziarah ke Alam Barzakh yang ditulis oleh Al-Imam Jalaluddin As-Suyuti. Menurut beliau, buku ini menarik kerana penulis mengajak pembaca bersama-sama menyulusuri alam barzakh dan seumpamanya. Menurut beliau lagi, penulisan buku ini agak berat dan jalan cerita yang disampaikan oleh penulis penuh ilmiah.
Seterusnya, menurut beliau kematian berlaku apabila seluruh anggota tubuh badan tidak berfungsi lagi. Selain daripada kematian adalah perpisahan alam atau keterpisahan roh dari jasad. Beliau mengatakan, penulis menyifatkan kematian adalah satu proses yang menyakitkan yang akan dialami oleh setiap orang. Jika kematian adalah dari orang yang baik, maka roh itu tadi akan dibawa ke langit ketujuh untuk menghadap Allah S.W.T. dan kemudian kembali semula ke tanah sepertimana firma Allah S.W.T kerana manusia itu sendiri kejadiannya adalah dari tanah.
Di akhir perkongsian, beliau mengingatkan para penonton bahawa alam barzakh itu wujud dan akan dialami oleh semua manusia. Oleh itu, marilah kita mengambil peluang kehidupan sementara di dunia ini untuk memperbanyakkan amalan soleh dan menghindarkan diri daripada melakukan maksiat kepada Allah SWT sebagai persiapan diri untuk menempuh alam barzakh.