8 Mei 2024, Rabu – Program K-Sharing anjuran Jabatan Perpustakaan UTM telah membincangkan satu (1) topik yang amat menarik bertajuk Teknologi Spritual & Sains Perubatan Melayu: Ke Arah Gagasan Kesejahteraan Holistik. Panel jemputan pada kali ini adalah Profesor Dr Arieff bin Rosman, Dekan, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM dan Encik Norhissam bin Mustafa dari Konsortium Sihat2U, Batu Pahat, Johor. Manakala moderator program ini ialah Dr Juhazreen bin Junaidi, Pensyarah Kanan, Fakulti Sains Sosial Dan kemanusiaan, UTM. Program ini telah bersiaran secara atas talian bermula jam 11 pagi sehingga 12 tengah hari melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.

Perkongsian dimulakan oleh panel pertama iaitu Dr. Arieff Rosman di mana beliau diminta untuk menghuraikan tentang pengertian kesejahteraan holistik. Beliau menjelaskan bahawa tiga (3) kunci utama untuk memahami maksud kesejahteraan holistik ialah keseimbangan di luar dan dalam diri seseorang itu, manakala kunci kedua adalah teknologi spiritual yang bermaksud sesuatu kaedah atau alat yang digunakan untuk meningkatkan kekuatan dalaman diri dan yang terakhir adalah teknologi perubatan

Seterusnya, panel kedua iaitu Encik Norhissam Mustafa menekankan tentang dunia perubatan Melayu telah lama wujud seiring dengan perkembangan tamadun Melayu itu sendiri. Ia dikembangkan lagi selepas kedatangan penjajah di mana ilmu perubatan Melayu turut mendapat perhatian mereka dan direkodkan. Dalam pada itu, beliau turut menerangkan bahawa kecenderungan orang awam kepada rawatan perubatan Melayu atau alternatif semakin mendapat tempat dalam pilihan rawatan mereka. Hal ini diperkukuhkan lagi dengan pengiktirafan oleh pihak kerajaan sendiri melalui Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dengan tertubuhnya Majlis Perubatan Tradisional dan Komplementari. Hal ini penting dalam memastikan kesinambungan ilmu dan rekod kajian mengenai keberkesanan rawatan secara tradisional dapat dikumpulkan secara tertib dan dikawal dengan baik. Lebih menarik lagi, ilmu perubatan tradisional turut dijadikan salah satu kursus perubatan di Malaysia dan telah mendapat kelulusan Lembaga Akreditasi Negara.


Perkongsian diteruskan lagi oleh Profesor Dr. Arieff Rosman yang mahukan masyarakat mengubah persepsi mereka terhadap perubatan Melayu di mana ia sering dikaitkan dengan ilmu perbomohan. Pada hakikatnya, perubatan Melayu bukan sekadar perbomohan dan jampi serapah, tetapi ia juga meliputi pemerhatian dan pengamatan orang-orang Melayu terhadap keberkesanan satu-satu jenis tumbuhan mahupun buah-buahan yang boleh digunakan sebagai ikhtiar untuk merawat penyakit tertentu, sukatan-sukatan dalam penyediaan ubat-ubatan dan juga teknik merawat. Beliau juga memaklumkan tentang usaha yang sedang dijalankan untuk menyusun ilmu perubatan Melayu melalui kurikulum yang sistematik. Hal ini turut dipersetujui oleh panel kedua iaitu Encik Norhissam Mustafa dalam menghurai mengenai pemahaman orang Melayu terhadap dunia perubatan bangsa mereka sendiri.


Kesimpulan yang boleh diperoleh daripada perkongsian ini adalah kesejahteraan holistik merangkumi fizikal dan juga spiritual di mana keseimbangan dari sudut rohani juga memainkan peranan penting dalam memastikan kesihatan kita terpelihara di samping peningkatan dan kemajuan dalam ilmu perubatan yang dibantu dengan teknologi moden. Perkongsian ini juda diharapkan dapat membuka mata orang-orang Melayu sendiri mengenai kehebatan bangsa mereka dalam meneroka dunia perubatan yang unik.

Share this :