21 Mei 2024, Selasa – Program K-Sharing: Eksplorasi Digital Sumber Terbuka: U-Pustaka telah berjaya dilaksanakan dengan menampilkan jemputan khas daripada Perpustakaan Negara Malaysia (PNM) iaitu Puan Rosmaini Salehhudin, Penolong Pengarah Kanan dari Bahagian Sumber Elektronik.


Program ini bermula pada jam 2.30 petang dan berlangsung selama satu (1) jam. Ia merupakan sinergi bersama PNM untuk memperkenalkan perkhidmatan perpustakaan digital negara, u-Pustaka, yang boleh diakses oleh seluruh rakyat Malaysia pada bila-bila masa dan di mana sahaja.


PNM bertanggungjawab menyediakan perpustakaan digital negara melalui u-Pustaka yang boleh diakses di laman web www.u-pustaka.gov.my. U-Pustaka merupakan inisiatif Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) di bawah pelan Jalur Lebar Negara. Di bawah program ini, 12 perpustakaan konsortium telah dipilih untuk menyediakan perkhidmatan pinjaman buku secara fizikal dan digital, membolehkan peminjaman buku antara perpustakaan konsortium yang bernaung di bawah u-Pustaka.


Menurut Puan Rosmaini, konsep u-Pustaka diwujudkan bagi memudahkan masyarakat mengakses ilmu pengetahuan, sekaligus menggalakkan pembelajaran sepanjang hayat. Oleh itu, akses diberikan secara percuma dan boleh diakses dengan mudah menggunakan pelbagai gajet pada bila-bila masa dan di mana sahaja.


PNM turut menyediakan panduan pendaftaran yang mudah untuk membolehkan masyarakat mengakses u-Pustaka. Di u-Pustaka, terdapat 2.9 juta buku fizikal dan 903,854 bahan digital yang disediakan sebagai rujukan untuk ahli berdaftar. Bagi pinjaman bahan fizikal, maksimum tiga (3) buah buku boleh dipinjam dalam satu masa dengan tempoh peminjaman selama satu bulan. Pembaharuan pinjaman boleh dilakukan sekali sahaja untuk membolehkan peminjam lain meminjam buku tersebut. Bagi pemulangan bahan, terdapat dua (2) opsyen yang boleh dipilih iaitu perkhidmatan Poslaju atau book drop di semua perpustakaan konsortium. Pembayaran juga boleh dilakukan secara atas talian untuk memudahkan semua ahli.


Kesimpulannya, u-Pustaka memberi manfaat besar kepada masyarakat dengan melahirkan masyarakat berpengetahuan dan memupuk minat membaca. Semoga perkongsian ini dapat membantu para penonton mengetahui lebih lanjut mengenai u-Pustaka dan menggunakan maklumat ini untuk meneroka u-Pustaka serta memperoleh manfaat yang tersedia di dalamnya.

Share this :