9 Mei 2024, Khamis – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) sinergi bersama Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTM telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 8/2024. Panel pengulas yang telah dijemput untuk sesi kali ini terdiri daripada Cik Nurul Syahirah Mohd Rosli, Ketua Jabatan Kelestarian Kampus, MPP dan Encik Muhammad Hafiz Fikri Ghazali, Yang Di-Pertua, MPP UTM. Manakala moderator untuk sesi ini adalah Encik Adam Raiyan Abd Rahim, Timbalan Yang Di-Pertua 2, MPP UTM. Program ini telah disiarkan secara atas talian melalui platform Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM bermula pada jam 11.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari.

Cik Nurul Syahirah Mohd Rosli memulakan sesi perkongsian dengan memilih buku bertajuk Lean In: Women, Work, and the Will to Lead oleh Sheryl Sandberg. Menurut pengulas, buku ini membincangkan tentang isu-isu berkenaan wanita seperti ketidakseimbangan jantina, kepimpinan wanita dan sebagainya. Beliau menyatakan bahawa seorang wanita itu seharusnya mempunyai sifat berani. Selain itu, menurut beliau buku ini juga menerangkan tentang dynamic gender dan jurang gaji antara lelaki dan wanita (gender pay gap).

Seterusnya, pengulas secara peribadi telah memilih bab empat (4) di dalam buku ini sebagai bahagian bacaan kegemarannya dan bab tersebut bertajuk It’s a jungle gym, not a ladder. Beliau menyatakan bahawa bab empat (4) ini menghuraikan tentang betapa pentingnya flexibility dalam sebuah karier. Bab ini juga bersangkut paut dengan kehidupan beliau di mana terdapat pelbagai cabaran yang beliau hadapi ketika menjawat jawatan tinggi sebagai mahasiswa di dalam kampus. Panel turut berkongsi pengajaran dari buku ini di mana pentingnya untuk tidak mengabaikan setiap peluang yang datang dalam usaha untuk memajukan diri dan gapailah peluang tersebut sebaik mungkin.

Panel pengulas kedua, Encik Muhammad Hafiz Fikri Ghazali telah memilih buku bertajuk Gerakan Rakan Strategik: Malaysia Madani. Buku ini merupakan hasil tulisan oleh seorang ahli politik Malaysia bernama Mustaffa Kamil Ayub. Berpengalaman dalam bidang politik, buku ini memberi tumpuan kepada gagasan Malaysia Madani yang dipelopori oleh Perdana Menteri Malaysia ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Buku ini turut menerangkan dengan jelas mengenai kerangka atau dasar Malaysia Madani itu sendiri dengan gaya bahasa yang mudah dan tidak terlalu kompleks.

Seterusnya, melalui pembacaan buku ini, panel turut menerangkan tentang teras MADANI itu sendiri iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Secara keseluruhan, buku ini sarat dengan elemen kenegaraan dan gagasan serta wawasan yang hendak dicapai oleh negara dan bagaimana kita sebagai rakyat Malaysia boleh meraih manfaat daripadanya. Di dalam buku ini juga, ia menekankan tentang pembangunan sahsiah diri, terutamanya dari sudut penyatupaduan rakyat dalam merealisasikan sebuah negara bangsa yang berjaya. Contoh yang telah dipetik ialah Piagam Madinah yang telah dilaksanakan ratusan tahun dahulu namun kekal relevan untuk dijadikan rujukan dan panduan di mana Nabi Muhammad S.A.W telah berjaya membentuk kesepakatan dan kesatuan ummah dengan konsep Islam yang berkesan kepada orang-orang Arab ketika itu. Elemen prejudis, memandang rendah antara satu kabilah dengan kabilah yang lain dapat dihapuskan oleh baginda nabi melalui dasar piagam yang mulia ini. Hal itulah yang menjadi contoh untuk membangun masyarakat kita pada hari ini yang memiliki kepelbagaian bangsa dan agama serta keunikan budaya yang berbeza.

Share this :