12 Jun 2024, Rabu – Perpustakaan UTM telah menerima kunjungan lawatan delegasi dari Yayasan Edukasi Harapan Indonesia dengan diwakili oleh pihak universiti dan sekolah menengah yang berjumlah seramai 13 orang termasuk guru pengiring. Lawatan yang berjalan di bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah ini memberi tumpuan kepada pengurusan galeri di mana pihak pelawat berminat untuk mempelajari mengenai tatacara pengurusan dan tatakelola yang digunapakai di Jabatan Perpustakaan UTM. Pustakawan yang mengiringi lawatan ini ialah Puan Nas Rashidah Mohd Mustaza dan Puan Nur Nazurah Nordin.
Sesi lawatan dimulakan dengan pembentangan korporat oleh Puan Nas Rashidah, Dr. Nazrinda A. Samah dan juga Puan Nabilah Jamil yang mewakili Seksyen Galeri. Penerangan tertumpu kepada sejarah Galerium UTM dan projek-projek pameran yang pernah dijalankan oleh Seksyen Galeri.
Sesi lawatan diteruskan dengan para pelawat diiringi oleh pustakawan bertugas ke Galerium UTM yang terletak di aras 2. Mereka telah diberikan penerangan mengenai sejarah koleksi artifak yang terdapat di galeri tersebut di samping mempelajari perkembangan UTM dari sudut teknologi dan sistem pengurusan kerja. Di samping itu, pelawat juga dapat melihat koleksi istimewa yang melibatkan jubah-jubah konvokesyen yang pernah digunakan oleh Canselor UTM terdahulu.
Sesi lawatan ini berakhir pada jam 11.45 pagi dan penyempaian cenderahati telah disampaikan oleh Dr. Nazrinda A. Samah kepada wakil delegasi. Semoga dengan sesi lawatan ini, ia dapat memberi manfaat dan pengalaman yang berguna kepada delegasi lawatan serta mendapat gambaran jelas tentang pengurusan galeri secara umumnya.