13 Jun 2024, Khamis – Perpustakaan Sultanah Zanariah UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah mengadakan Program BookSharing @UTMKL 2024 bagi Siri ke-6. Dua (2) orang panel dari Jabatan Timbalan Naib Canselor telah dijemput iaitu Puan Siti Adilah Mohamad dari Bahagian Penyelidikan & Inovasi dan Puan Zuraina Sudin dari Bahagian Pembangunan.
Bagi memulakan program, Mohd Azalan Mohd Lazim, Pembantu Pustakawan, PSZKL selaku moderator telah menjemput Puan Siti Adilah Mohamad untuk memulakan perkongsian dengan bahan bacaan yang telah beliau pilih bertajuk Sekati Gandum, Secubit Garam yang ditulis oleh Abdul Wahab Paloh Nyior. Menurut beliau, buku ini menceritakan tentang kepentingan hal-hal kecil dalam kehidupan yang sering kali dianggap remeh sedangkan ia mempunyai impak yang besar. Melalui judulnya, Sekati Gandum Secubit Garam, pengarang menyampaikan pesan bahawa setiap perkara kecil mempunyai peranan dan kepentingannya yang tersendiri.
Tambahnya lagi, buku ini mengandungi beberapa cerita pendek mengenai kehidupan seharian masyarakat dan refleksi yang mendalam oleh penulis tentang pelbagai aspek kehidupan. Penulis berkongsi pandangannya tentang nilai-nilai moral, hubungan antara manusia, dan kepentingan budaya dalam membentuk identiti seseorang. Pengulas menyimpulkan bahawa buku ini sarat dengan nasihat dan kebijaksanaan yang disampaikan melalui kisah-kisah yang ditulis dan sekaligus ia boleh dijadikan panduan dalam kehidupan seharian.
Sesi ini diteruskan lagi dengan panel kedua iaitu Puan Zuraina Sudin yang telah memilih buku bertajuk Ibu Ayah, Sabarlah yang merupakan hasil penulisan Hanafi Muidnudin dan Ustaz Fadhil Yahya. Panel memulakan perkongsian dengan menceritakan tentang penekanan mengenai konsep sabar dalam berumahtangga di dalam buku tersebut. Menurut beliau, ibu dan ayah merupakan tunjang utama perjalanan sebuah rumahtangga. Sekiranya ibu dan ayah berjaya mengurus rumahtangga dengan baik, maka bahagialah rumahtangga. Namun begitu, jika rumahtangga kita bermasalah, secara tidak langsung ia akan turut menjejaskan kehidupan anak-anak.
Pengulas juga menyatakan bahawa buku ini turut menceritakan tentang ujian yang ditanggung oleh ibu dan ayah pada masa kini bukan biasa-biasa, tapi itulah yang perlu dihadapi setiap hari dan ia perlu dilakukan secara bersama. Beliau menasihati agar tetap sabar dalam mengurus keluarga dan sentiasa belajar untuk memperbaiki diri dan menjadi suami, isteri serta ayah dan ibu yang baik.
Penulis turut menyifatkan bahawa manusia adalah makhluk yang serba kekurangan. Oleh kerana itulah kita perlu sentiasa terbuka menerima teguran untuk memantapkan lagi sahsiah diri. Begitu juga dalam rumahtangga di mana tiada istilah kesempurnaan tetapi suami isteri wajib berusaha untuk saling melengkapi dalam membina kerukunan rumahtangga.