4 Julai 2024, Khamis – Program Read & Relax Siri 12/2024 telah berlangsung secara atas talian melalui platform Facebook Perpustakaan UTM dan juga Youtube Perpustakaan UTM. Siri kali ini telah menjemput dua (2) orang ahli panel yang terdiri daripada staf Jabatan Perpustakaan UTM iaitu Puan Fatin Inani Jaafarullah dan Puan Rafiqah Hakima Che Rahim. Manakala moderator bagi siri kali ini ialah Puan Nas Rashidah Mohd Muztaza.
Pengulas pertama iaitu Puan Fatin Inani Jaafarullah, telah memilih sebuah buku bertajuk Penat hasil karya Dr. Alizi Alias. Beliau menyatakan bahawa buku ini membawa pembaca untuk refleksi secara mendalam mengenai cabaran psikologi yang dihadapi oleh generasi muda dalam mengurus keletihan dan kehilangan motivasi dalam kehidupan profesional mereka.
Pengarang buku ini menekankan bahawa pentingnya memiliki satu sikap sentiasa teruja untuk belajar dan rasa cinta terhadap kerjaya sendiri sebagai aspek penting dalam mencapai kejayaan dan personal branding. Namun begitu, kehidupan peribadi dan kerjaya juga perlu diurus dengan seimbang bagi menjamin kesejahteraan diri dalam dunia yang penuh cabaran. Hal ini untuk mengelakkan kita terlampau letih sehingga memberi kesan yang buruk terhadap salah satu perkara berikut sama ada kerjaya mahupun kehidupan peribadi.
Seterusnya, perkongsian diteruskan dengan panel kedua iaitu Puan Rafiqah Hakima Che Rahim yang mengulas buku bertajuk I’m A Backpacker: Korea hasil karya Halian Azurin. Beliau menyatakan bahawa buku ini boleh menjadi panduan untuk pengembara yang ingin menjelajahi negara Korea Selatan yang terletak di Asia Timur dengan cara yang mudah dan dengan kos yang efektif. Selain itu, beliau turut berkongsi dengan penonton pengalaman peribadinya sebagai backpacker ketika melawat negara tersebut. Beliau menceritakan tentang budaya, tempat menarik, dan tips praktikal untuk melancong secara bajet di Korea.
Di akhir perkongsian ini, dapat disimpulkan bahawa memiliki cara pemikiran yang positif, semangat untuk terus belajar dan kecintaan terhadap pekerjaan adalah elemen penting dalam mencapai kejayaan. Di samping itu, keseimbangan antara kehidupan peribadi dan kerjaya perlu diurus dengan baik, termasuk pengurusan masa dan emosi yang berkesan. Selain itu, bagi memastikan kesejahteraan mental dan fizikal, meneroka pengalaman baru seperti mengembara ke negara luar juga dapat memberikan perspektif yang lebih luas dan mendalam terhadap kehidupan.