25 Julai 2024, Khamis – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) berbesar hati menerima kunjungan lawatan dari Maahad Tahfiz Wal Tarbiyah Darul Iman seramai 40 orang yang terdiri daripada Pengawas Perpustakaan Sekolah di madrasah tersebut.
Petugas lawatan bagi sesi ini diketuai oleh Puan Nur Nazurah Nordin dan dibantu oleh Puan Norsyazwani binti Mohd Ariffin, Cik Siti Norhashidah binti Zakaria dan Puan Kartini binti Ibrahim bagi bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ). Manakala bagi bangunan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS) pula diketuai oleh Puan Tuan Syahirah binti Tuan Abdul Rahman dan dibantu oleh Puan Zuraidah binti Aman, Puan Nur Amalina binti Mohamad dan Encik Mohd Ikhmal bin Mohamad Noor.
Lawatan ini bertujuan untuk memberi pendedahan kepada para pelajar tentang sejarah penubuhan Perpustakaan UTM dan peranannya dalam memberi perkhidmatan kepada para mahasiswa. Selain dari itu, para pelawat juga berkesempatan mendapatkan maklumat mengenai bahan rujukan di perpustakaan, perkhidmatan dan fasiliti yang disediakan di Perpustakaan UTM.
Para pelawat berpeluang untuk mengunjungi kedua-dua bangunan perpustakaan JPUTM. Petugas lawatan akademik di PRZS menyambut mesra ketibaan pelawat dan membawa mereka melawat ke ruang-ruang eksklusif yang terdapat di PRZS. Mereka turut dibawa melawat ke Bilik Koleksi Tesis yang menempatkan ribuan koleksi tesis yang telah diterbitkan oleh warga UTM. Bilik Koleksi Tesis adalah tertutup di bawah kawalan suhu dan kelembapan yang telah ditetapkan jabatan bagi memastikan kualiti koleksi tesis secara fizikal adalah terpelihara.
Selain itu, para pelawat turut diberikan demonstrasi pencarian bahan dan seterusnya cara peminjaman bahan menggunakan Mesin Peminjaman Layan Diri (SPLD) dan penggunaan Book-Drop Machine bagi tujuan pemulangan buku.
Setelah selesai lawatan di PRZS, para pelawat bergerak menuju ke bangunan PSZ. Di PSZ, pelawat telah dibawa ke Galerium UTM yang bertempat di aras 2, bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah yang menempatkan artifak-artifak sejak dari penubuhan awal UTM bagi tujuan pembelajaran dan pengajaran. Seterusnya peserta lawatan dibawa melawat ke keseluruhan aras 2 yang turut dikenali sebagai Living Gallery yang menempatkan koleksi-koleksi jurnal dan majalah. Di samping itu, para pelawat turut dapat menyaksikan ruangan ini masih mengekalkan perabot yang bersifat antik yang telah digunakan sejak dari awal penubuhan perpustakaan ini.
Seterusnya, para peserta dibawa melawat ruangan yang menempatkan beberapa fasiliti khusus PSZ yang sering menjadi tumpuan mahasiswa. Antaranya ialah bilik karel, bilik Eksekutif, bilik perbincangan, bilik seminar dan makmal komputer.
Sesi lawatan ini berakhir pada jam 1.30 petang ddengan sesi penyampaian cenderahati yang telah disampaikan oleh Encik Mohd Fuad bin Mohamed Yusof kepada wakil pengajar Maahad Tahfiz. Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat dan pengalaman yang terbaik kepada para peserta serta memberi inspirasi kepada mereka untuk belajar ke peringkat yang lebih tinggi.