31 Julai 2024, Rabu – Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ) dan Perpustakaan Raja Zarith Sofiah (PRZS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menerima kunjungan lawatan penanda aras oleh delegasi Perpustakaan Tunku Tun Aminah (PTTA), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
Lawatan ini bertujuan untuk memperkukuh kerjasama serta berkongsi amalan terbaik dalam pengurusan perpustakaan dan penyelenggaraan fasiliti. Delegasi PTTA, yang terdiri daripada sembilan (9) orang ahli termasuk Timbalan Ketua Pustakawan Kanan, Pustakawan, dan pembantu pustakawan kanan, tiba di PSZ pada jam 10.15 pagi.
Sese lawatan dimulakan dengan ucapan aluan daripada wakil Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan wakil PTTA, UTHM. Tentatif utama lawatan ini termasuk tayangan video korporat JPUTM dan sesi pembentangan serta perkongsian ilmu yang melibatkan pengurusan aset dan fasiliti, keselamatan kesihatan dan pekerjaan di perpustakaan serta sistem ‘Head-Count’ pengguna di PSZ dan PRZS.
Perkongsian telah disampaikan oleh beberapa orang staf perpustakaan yang mahir di bidang masing-masing iaitu Encik Muhammad Sayid bin Saifuzzaman, Encik Abdul Hadi bin Mohamed, Puan Nas Rashidah binti Mohd Muztaza dan Encik Muhammad Azmi bin Khalib.
Seterusnya, delegasi telah dibawa melawat ke ruang-ruang eksklusif di PSZ yang sering menjadi tumpuan pengguna seperti Ruang Interaktif, Bilik 24 Jam, Bilik Karel dan Bilik Perbincangan. Kemudian, sesi lawatan di PRZS turut diadakan pada sebelah petang yang diiringi oleh Puan Tuan Syahirah binti Tuan Abdul Rahman, Puan Nur Hazirah binti Mustaffa dan Puan Nur Nazurah binti Nordin.
Lawatan ini berakhir pada jam 3.00 petang dengan sesi fotografi. Semoga lawatan ini dapat berjaya memberikan input yang diperlukan oleh delegasi PTTA serta dapat memperkukuh hubungan kerjasama dan dapat bertukar pandangan dalam usaha meningkatkan kualiti perkhidmatan perpustakaan masing-masing.