Program BookTalk@Library untuk siri ke-17 telah diadakan pada 16 Ogos 2024. Program yang diadakan di Wisdom Lounge, Perpustakaan UTM Kuala Lumpur ini telah menampilkan dua (2) orang staf perpustakaan iaitu Encik Muhammad Hanis Rahim dan Puan Khairun Nadzrah Khalid sebagai pengulas.


Program dimulai dengan perkongsian dari Encik Muhammad Hanis Rahim yang berkongsi buku pilihannya bertajuk Smart Teams: How to Move from Friction to Flow and Work Better Together oleh Dermot Crowley.

Menurut beliau, buku ini memberikan panduan mengenai pengurusan pasukan kerja dalam apa jua bidang pekerjaan yang lebih cekap dan produktif. Selain itu, buku ini turut memperincikan secara praktikal tentang pembinaan pasukan yang lebih pintar, efektif, dan produktif di tempat kerja. Crowley telah meneroka kaedah terbaik untuk mengurangkan ketegangan atau friction yang sering timbul dalam kerja berpasukan, dan bagaimana untuk mencapai aliran (flow) yang lebih lancar dalam kerjasama pasukan.


Menerusi pembacaan buku ini dapat memberi kita ilmu tambahan dalam mencari jalan untuk memperbaiki satu-satu pasukan itu berfungsi dan bekerja dengan baik. Bukan itu sahaja, pembaca dapat memahami bahawa pasukan yang berkesan bukan sahaja bergantung pada kemahiran individu, tetapi juga pada bagaimana ahli pasukan berinteraksi, berkomunikasi, dan bekerja bersama untuk mencapai matlamat yang sama.


Perkongsian diteruskan oleh Puan Khairun Nadzrah Khalid dengan buku yang bertajuk Pelukis Jalanan yang ditulis oleh Teme Abdullah.  Pelukis Jalanan menceritakan kisah Aiman, seorang lelaki muda yang memilih untuk menjadi pelukis jalanan di Kuala Lumpur. Beliau sering melukis di tepi-tepi jalan, memberi gambaran tentang dunia yang dilalui oleh masyarakat urban yang sering terpinggir dan tidak kelihatan. Dengan hanya menggunakan medium lukisan, Aiman berusaha berhubung dengan masyarakat, sambil meneroka diri dan mencari erti kehidupan.


Menurut pengulas, beliau tertarik untuk membaca buku ini kerana ia bukan hanya menceritakan berkaitan seni, tetapi buku ini juga membuka mata pembaca terhadap kehidupan golongan marhaen yang sering terpinggir dalam masyarakat moden, dan bagaimana mereka berusaha mencari erti hidup melalui jalan seni.

Share this :