Sinergi Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS) telah menganjurkan Program Read & Relax Siri 15/2024 pada 15 Ogos 2024 (Khamis), jam 11.00 pagi sehingga jam 12.00 tengah hari. Program ini disiarkan secara atas talian melalui laman Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM. Panel pengulas jemputan pada sesi kali ini ialah Encik Salleh bin Hashim, Ketua 2 Persatuan Komuniti Buku dan Pengkarya Tangkak, Johor. Manakala pengulas kedua adalah Dr. Mohamad Suhaizi bin Suhaimi, Pensyarah Kanan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, HPT Pagoh. Moderator untuk sesi kali ini ialah Encik Wahyu Budiwa Rendra bin A.Wahid, Penolong Pengarah, Bahagian Persuratan dan Sejarah, Yayasan Warisan Johor.

Moderator telah memperkenalkan sebuah buku bertajuk Seribu Satu Malam yang akan diulas oleh kedua-dua panel. Buku ini dilihat istimewa kerana ia merupakan sebuah buku yang diterjemah oleh seorang figura politik yang sangat terkenal iaitu Allahyarham Datuk Onn bin Jaafar. Ia diterbitkan pada tahun 1948, buku ini telah menjangkau usia penerbitannya selama 46 tahun.

Encik Salleh Hashim memulakan perkongsian dengan menerangkan isi kandungan buku ini, yang merupakan himpunan kisah-kisah unik dari Timur Tengah hingga ke benua India. Buku ini memaparkan keunikan kesusasteraan mereka dalam mengungkap citra bangsa yang dipengaruhi oleh agama dan adat resam setempat. Kisah Seribu Satu Malam bukanlah sebuah cerita panjang, sebaliknya ia adalah jalinan kisah-kisah berbeza yang membentuk satu koleksi ceritera yang dianggap agung dalam perkembangan tamadun timur tengah, khususnya ketika kebangkitan empayar Islam pada satu masa dahulu, khususnya di era kerajaan Bani Abbasiyah dan Bani Mamluk. Perkongsian beliau ini memberi sedikit pencerahan kepada tentang kekayaan budaya timur tengah satu masa dahulu yang disulami dengan nilai-nilai Islam, namun tidak lari dari elemen mistik, cinta dan perjuangan hidup.

Perkongsian diteruskan dengan panel kedua, Dr. Mohamad Suhaizi Suhaimi, yang menerangkan secara ringkas tentang struktur buku ini. Beliau menyatakan bahawa buku ini mempunyai blurb tersendiri dan pemilihan warna hitam pada kulit buku sangat bertepatan dengan tajuknya. Selain itu, beliau menyebut bahawa buku ini dilihat unik secara teknikalnya kerana ia tidak mempunyai nombor ISBN seperti mana kelaziman buku-buku yang diterbitkan untuk dijual. Seterusnya, Encik Salleh bin Hashim turut berkongsi kisah mengenai Dato’ Onn Jaafar yang sangat gemar membaca dan menulis walaupun sibuk menguruskan hal-hal negara.

Dr. Mohamad Suhaizi meneruskan perkongsian dengan membincangkan bagaimana sesebuah buku boleh menarik minat remaja masakini. Beliau menyarankan bahawa buku yang mempunyai blurb menarik dan ilustrasi tersendiri akan lebih menawan hati pembaca muda. Di samping itu, beliau juga mencadangkan penggunaan pempengaruh (influencer) dalam mempromosikan bahasa dan isi kandungan buku.

Encik Salleh turut memberikan pandangan bahawa kita boleh mengambil satu (1) bab daripada sesebuah buku dan menterjemahkannya ke dalam bentuk lakonan untuk memudahkan pemahaman pembaca dan penonton. Sebuah karya seni atau ciptaan mampu mendapat pengiktirafan dan tersebar luas di seluruh dunia melalui beberapa faktor penting. Antaranya adalah kualiti dan keunikan karya itu sendiri, kemampuan untuk menyentuh perasaan serta idea global, penggunaan platform digital dan media sosial, serta sokongan daripada pihak tertentu seperti media, kritikan seni, atau peminat. Selain itu, pencapaian karya tersebut dalam menembusi pasaran antarabangsa dan keupayaannya untuk merentasi sempadan budaya turut memainkan peranan yang besar.

Kesimpulannya, sesebuah karya mampu meraih perhatian di seluruh dunia jika ia memiliki daya tarikan universal, disokong oleh kemajuan teknologi komunikasi, serta mendapat pengiktirafan dan sokongan yang meluas.

Share this :