10 September 2024, Selasa – Bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan 2024, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan program bicara karya bertajuk Pengisian Kemerdekaan 1957-1970. Program ini menampilkan penulis buku tersebut, Prof. Dr. Mohd bin Samsudin, Pengarah Institut Kajian, Universiti Islam Melaka, sebagai panel jemputan. Moderator bagi program ini ialah Prof. Madya Dr. Mohd Azhar bin Abd Hamid dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Johor. Program ini dilaksanakan secara dalam talian dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Perpustakaan UTM serta YouTube UTM Library TV
Buku ini membawa naratif tentang usaha kerajaan dan rakyat Malaysia dalam mengisi nilai kemerdekaan negara selepas kemerdekaan pada tahun 1957 hingga 1970. Ia merangkumi pelbagai aspek seperti politik, ekonomi, sosial dan pembangunan negara. Tempoh ini juga melibatkan peristiwa-peristiwa penting seperti pembentukan Malaysia, konfrontasi dengan Indonesia serta peristiwa 13 Mei 1969 yang merubah landskap politik dan sosial negara.
Kandungan utama buku ini antaranya adalah tentang pembangunan politik pasca kemerdekaan. Selepas mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, Malaysia berdepan dengan cabaran mengekalkan kestabilan politik dan perpaduan dalam kalangan masyarakat yang berbilang kaum. Buku ini turut membincangkan peranan Tunku Abdul Rahman sebagai Perdana Menteri pertama dalam membentuk dasar-dasar politik negara, termasuk penubuhan Perikatan yang terdiri daripada UMNO, MCA dan MIC, yang memainkan peranan penting dalam mencorakkan politik negara.
Di samping itu, panel turut turut mengupas mengenai pembentukan Malaysia pada 1963 di dalam buku ini yang membawa kepada penyertaan Sabah, Sarawak dan Singapura ke dalam Persekutuan. Pembentukan ini bukan sahaja meluaskan geografi negara, tetapi juga menambah cabaran dalam pengurusan perbezaan etnik dan budaya yang lebih luas.
Dari segi ekonomi pula, panel menyatakan bahawa Malaysia telah memulakan beberapa Rancangan Malaysia untuk merancang pembangunan ekonomi negara. Buku ini menyorot peranan rancangan pembangunan seperti Rancangan Malaya Pertama (1956-1960) dan Rancangan Malaya Kedua (1961-1965) dalam membangunkan infrastruktur negara, terutama di luar bandar dan meningkatkan taraf hidup rakyat.
Antara cabaran sosial yang dihadapi Malaysia dalam membina perpaduan dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum. Salah satu peristiwa yang paling signifikan ialah Peristiwa 13 Mei 1969 di mana berlakunya rusuhan kaum yang menyebabkan perubahan besar dalam struktur politik dan sosial negara. Kerajaan kemudiannya memperkenalkan Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang bertujuan untuk mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi antara kaum.
Buku ini turut membincangkan pelaksanaan sistem pendidikan yang lebih inklusif dan langkah-langkah untuk menyatupadukan pelbagai kaum melalui bahasa dan budaya. Sekolah-sekolah kebangsaan diperkenalkan sebagai satu cara untuk menyatupadukan rakyat Malaysia melalui penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama.
Secara kesimpulannya buku Pengisian Kemerdekaan 1957-1970 memberikan pandangan yang menyeluruh tentang tempoh awal pembinaan negara Malaysia. Ia menggariskan cabaran politik, ekonomi, sosial dan keselamatan yang dihadapi oleh pemimpin dan rakyat Malaysia dalam usaha untuk membangunkan sebuah negara yang stabil dan makmur.