10 September 2024, Khamis – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) telah mencatat sejarah sebagai kumpulan pustakawan pertama yang terlibat dalam program 1Lib1Ref (1 Librarian 1 Reference) anjuran Wikimedia Malaysia melalui bengkel bertajuk 1Lib1Ref: Pustakawan di Wikipedia yang berlangsung di Bilik Seminar 2, Bangunan Sultanah Zanariah.


Program ini adalah kolaborasi pertama antara Wikimedia dengan pustakawan, bertujuan untuk membimbing pustakawan dan staf perpustakaan dalam proses suntingan rujukan dan maklumat di Wikipedia. Mengambil kira peranan pustakawan yang berkemahiran dalam mengurus sumber dan maklumat yang lebih mendalam, kerjasama ini diharapkan dapat meningkatkan kualiti rujukan dan sumber yang digunakan dalam Wikipedia.


Wikimedia adalah organisasi yang mengendalikan platform-platform seperti Wikipedia, Wiktionary dan Wikisource, di mana semua kandungan terbuka untuk disunting oleh masyarakat global. Bengkel ini memberikan pendedahan kepada pustakawan dan staf perpustakaan tentang cara menyunting rujukan, format, dan sumber di Wikipedia.


Visi utama bengkel ini adalah untuk mencipta sebuah dunia di mana setiap orang dapat berkongsi pengetahuan tanpa batasan, sekali gus membina masyarakat yang lebih bermaklumat dan bebas. Antara kemahiran yang dikongsikan dalam bengkel ini termasuklah suntingan perkataan, di mana peserta diajar membetulkan kesilapan dalam artikel Wikipedia dengan menukar kod kandungan, serta suntingan format untuk memastikan artikel kelihatan lebih kemas selepas disunting. Bengkel ini diketuai oleh Encik Farouk Azim Abd Rahman selaku Ketua Projek dan turut disertai oleh lima (5) orang fasilitator dari Wikimedia yang membantu dalam proses bimbingan dan menjawab sebarang pertanyaan peserta.


Dengan penglibatan aktif staf PSZKL dalam bengkel ini, diharapkan mereka dapat terus menyumbang kepada komuniti Wikipedia, menyokong usaha-usaha Kumpulan Komuniti Pengguna Wikimedia Malaysia, dan menjadikan diri mereka sebagai sebahagian daripada komuniti yang menyokong perkongsian maklumat secara bebas dan terbuka.

Share this :