23 September 2024, Isnin – Program Pentas Budaya Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail: Keindahan Adab Sopan dan Gelora Teluk Belanga, merupakan sebuah program istimewa yang dianjurkan oleh Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) yang bermula pada jam 11.00 pagi hingga 2.00 petang di Dewan Banquet, UTM Johor Bahru. Program ini diadakan dengan kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka Wilayah Selatan (DBPWS). Program ini dilaksanakan dengan tujuan untuk memperkayakan pemahaman kita tentang keindahan budaya Melayu dan kesusasteraan yang diterokai melalui karya-karya sasterawan negara yang terkemuka.

Datuk Siti Zainon Ismail adalah seorang tokoh sasterawan, penyair, novelis dan juga seniman visual dari Malaysia yang sangat berpengaruh. Beliau dilahirkan pada 18 Disember 1949 di Gombak, Selangor dan telah menghasilkan banyak karya sastera yang mencerminkan identiti, budaya dan warisan Melayu serta Islam. Sasterawan Negara, Datuk Siti Zainon telah diiktiraf pada tahun 2019. Beliau banyak menulis puisi, cerpen dan novel yang memaparkan tema-tema berkaitan alam, kemanusiaan, cinta dan ketuhanan. Antara karyanya yang terkenal berjudul Pertiwi, Rinduku Pada Pelangi dan Kolam Teduh Biru. Gaya penulisannya sering digambarkan sebagai puitis dan penuh dengan elemen visual, mencerminkan latar belakangnya dalam bidang seni visual.

Sebagai penghormatan, buku Kolam Teduh Biru hasil karya beliau telah dipilih untuk dijadikan bahan buku Braille, sebagai inisiatif bagi memudahkan pelajar Sekolah Pendidikan Khas mendapatkan akses kepada bahan bacaan bermutu. Selain itu, naskhah ini turut diterbitkan dalam format buku audio, yang boleh diakses melalui laman web Perpustakaan UTM; https://library.utm.my/BacaCelikHati/. Projek braille ini bertujuan untuk menyokong proses pembelajaran pelajar berkeperluan khas dan memperluas capaian bahan sastera kepada golongan berkeperluan khas.

Selain itu, Sasterawan Negara Datuk Dr. Siti Zainon Ismail turut berkongsi ilmu berkenaan Busana Melayu Johor iaitu Baju Kurung Teluk Belanga, untuk lelaki dan wanita. Busana ini ia memiliki ciri tersendiri yang menonjol, namun terdapat beberapa perbezaan utama dalam gaya dan potongan dengan baju melayu biasa. Baju kurung teluk belanga mempunyai potongan leher bulat tanpa kolar dan dihiasi dengan sulaman halus yang dikenali sebagai tulang belut. Baju Kurung Teluk Belanga untuk wanita Johor pula mengikut konsep dagang luar, di mana bajunya dipakai labuh di luar kain sarung. Potongan baju ini longgar dan sederhana, dengan leher bulat dan sulaman tulang belut seperti pada baju lelaki.

Program Pentas Budaya Sasterawan Negara ini juga diserikan dengan persembahan teater dari Kumpulan Anggar Bestari bertajuk Teluk Belanga Warisan Anak Jauhar, bacaan sajak oleh adik Gilbert Lau Zi Xiang dari Sekolah Kebangsaan Pendidikan Khas Princess Elizabeth, Johor Bahru dan juga gimik lakaran lukisan oleh Datuk Dr. Siti Zainon Ismail sepanjang persembahan diadakan.

Jutaan terima kasih juga diucapkan kepada Unit Wakaf UTM atas sumbangan dana untuk pembelian mesin cetak braille dan perisian Duxbery yang bakal membantu projek translitaan Braille. JPUTM turut mengalu-alukan sumbangan hak cipta bahan bacaan dan dana wakaf dalam memperkaya sumber bacaan braille dan audio.

Share this :