Bersempena dengan Week of Welcome dan Hari Kesihatan Mental Sedunia 2024, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) telah menganjurkan satu (1) sesi perkongsian ilmu melalui program K-Sharing bertajuk Stres Kronik dan Apa Yang Perlu Kita Tahu pada 21 Oktober 2024 (Isnin) dan disiarkan secara langsung melalui Facebook Perpustakaan UTM dan Youtube UTM Library TV. Barisan panel terdiri daripada Dr. Mohd Firdaus Akmal Azman, Pengarah Pusat Kesihatan Universiti, UTM Johor Bahru dan Dr. Nurul Izzah binti Shari, Pensyarah, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Johor Bahru. Moderator bagi program ini ialah Dr. Fauziah binti Haji Zaiden dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UTM Johor Bahru.

Perkongsian ilmu ini memberi pendedahan dan kesedaran kepada umum mengenai stres kronik yang sedang menular dalam kalangan masyarakat. Ia bermula dengan tekanan yang tidak dibendung dan diurus dengan baik pada peringkat awal dan lama kelamaan ia boleh membawa kepada pelbagai masalah kesihatan seperti kemurungan, masalah tidur dan penyakit fizikal lain jika tidak ditangani dengan betul. Para panel turut berkongsi mengenai tanda-tanda stres kronik, faktor penyebab kepada stres kronik dan langkah-langkah yang boleh diambil bagi mengurangkan tekanan dalam kehidupan seharian.

Menurut panel, punca stres kronik yang telah dikenal pasti adalah tekanan di tempat kerja, masalah kewangan, persekitaran hidup yang mencabar dan kurang sokongan sosial. Selain itu, panel juga turut berkongsi cara untuk menangani stres dengan menggunakan kaedah TABAH. TABAH iaitu T merujuk kepada terima dengan hati terbuka, A pula ambil berat pada diri sendiri, B pula beri perhatian dan hayati waktu sekarang, A pula apa yang kita mahu dan penting, H pula hubungan dengan Tuhan, orang yang disayangi dan dapatkan bantuan daripada pakar yang bertauliah.

Selain itu juga, panel turut berkongsi tips dan panduan awal bagi menghadapi stres. Hal ini kerana kesihatan mental tidak boleh dipandang remeh dan sokongan orang terdekat dan juga masyarakat amat penting untuk memberi dorongan dan semangat untuk menghadapi rintangan dan ujian dengan tabah dan cekal. Semoga perkongsian yang disampaikan ini menjadikan pemangkin kepada semua warga kampus untuk menjaga kesejahteraan diri dan lebih berdaya tahan bagi menghadapi apa jua yang mendatang.

Share this :