22 Oktober 2024, Selasa – Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dengan sinergi bersama Menara Optometry Taman Universiti telah mengadakan satu (1) program K-Sharing yang bertajuk Mata Sihat, Hidup Ceria: Panduan Penjagaan Kesihatan Mata bersempena Week of Welcome dan Hari Penglihatan Mata Sedunia 2024 bertempat di Ruang Lestari, Aras 3, Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah. Panel jemputan terdiri daripada Dr. Jaya Vani, Pakar Ophthalmologist, Hospital Sultanah Aminah dan Puan Mardhiah Syazwani binti Nasir, Optometris dari Menara Optometry Taman Universiti. Manakala moderator ialah Puan Nur Hanim Binti Hasnizan, Optometris, Menara Optometry Taman Universiti.

Di awal perkongsian, Dr. Jaya Vani menyatakan bahawa penyakit katarak, glukoma dan masalah kornea adalah penyakit mata yang banyak dirujuk di Klinik Pakar Mata Hospital Sultanah Aminah. Kebanyakan pesakit yang menghidap penyakit berkenaan adalah merupakan pesakit yang mempunyai penyakit kencing manis dan juga perokok tegar. Hal ini membuktikan bahawa merokok boleh memberikan kesan serius pada mata dan membawa kepada masalah kesihatan mata. Pesakit daripada kategori kanak- kanak pula kebiasaanya mereka menghadapi masalah akibat rabun jauh, dekat dan juga silau yang tinggi.

Panel kedua iaitu Puan Mardhiah Syazwani turut berkongsi mengenai tren peningkatan masalah rabun dalam kalangan kanak-kanak pada masa kini di mana ia meningkat dalam nisbah tiga (3) daripada sepuluh (10) kanak-kanak mempunyai masalah rabun. Justeru, beliau menasihati ibu bapa supaya sentiasa peka dan sentiasa bertanya kepada anak-anak mereka tentang keadaan mata dengan memantau aktiviti harian mereka. Ibu bapa perlu menjangka peningkatan rabun pada usia anak mereka dari lima (5) tahun hingga ke lapan belas (18) tahun akan sentiasa meningkat seiring pemanjangan bola mata. Selain itu, Kementerian Kesihatan Malaysia dan Kementerian Pendidikan Malaysia juga telah bekerjasama dalam membuat program saringan penglihatan bagi murid darjah satu (1) dan darjah enam (6).

Mengulas dengan lebih lanjut, beliau memaklumkan bahawa terdapat empat (4) jenis rabun iaitu rabun jauh (myopia), rabun dekat (hyperopia), silau (astigmatisme) dan rabun tua. Rabun berkait rapat juga dengan saiz bola mata. Jika seseorang mempunyai rabun jauh, bola matanya adalah panjang manakala jika seseorang mengalami rabun dekat bola matanya adalah pendek. Rabun silau pula dikenali sebagai astigmatisme dan ia boleh terjadi pada waktu siang atau malam. Punca terjadi adalah disebabkan lapisan luar mata iaitu kornea adalah tidak sekata.

Walau bagaimanapun, pada masa kini ramai orang muda mula mengalami rabun tua sebelum usia mereka yang sepatutnya. Hal ini berkaitan dengan masalah stamina pada otot mata dan juga disebabkan oleh penggunaan komputer dan gadget berlebihan setiap hari.

Terdapat banyak jenis rawatan bagi mengurangkan rabun. Antaranya ialah dengan memakai cermin mata dan pastikan peningkatan rabun jauh adalah tidak naik mendadak. Selain itu, perbanyakkan aktiviti luar, menggunakan ubat titis dari doktor bertauliah, visual hygiene dengan menggunakan 20-20-20 rules iaitu setiap 20 minit penggunaan komputer, rehat mata selama 20 saat dengan melihat objek sejauh 20 kaki dapat mengawal risiko rabun dan mengelak daripada otot mata menjadi kejang.

Di akhir program, Dr. Jaya Vani menasihati orang ramai dan penonton agar membuat pemeriksaan mata secara berkala lebih-lebih lagi kepada pesakit kencing manis atau ahli keluarga yang menghidap kencing manis supaya membuat pemeriksaan mata satu (1) kali dalam setahun. Hal ini kerana penyakit kencing manis adalah berkaitan dengan saraf mata dan dengan pemeriksaan awal ia dapat membantu dan tahap penglihatan pesakit adalah lebih baik. Begitu juga dengan pesakit glukoma yang berusia lebih 40 tahun ke atas perlu membuat pemeriksaan dengan pakar mata bagi memastikan mata dalam keadaan baik.

Manakala Puan Mardhiah pula berkongsi sedikit tips mata sihat iaitu dengan memperbanyakkan aktiviti luar, mengurangkan waktu penggunaan gadget, penjarakan bahan bacaan dengan mata, kerap makan sayur-sayuran dan buah-buahan, minum air secukupnya, tidak membaca di dalam gelap, tidur yang secukupnya dan melakukan pemeriksaan mata minimum satu tahun sekali.

Penulis: Nur Fatin binti Mohamed

Share this :