Program Read & Relax bagi siri 20 telah dianjurkan pada 24 Oktober 2024 (Khamis) oleh Jabatan Perpustakaan UTM Johor Bahru (JPUTM) dengan kerjasama Kolej Universiti Islam Johor Sultan Ibrahim (KUIJSI). Panel pengulas ialah Dr. Maskiah binti Masrom, Ketua Pusat Penyelidikan dan Penerbitan, KUIJSI. Manakala moderator adalah Muhammad Syazani Seth, Pensyarah Usuluddin dari KUIJSI. Program ini disiarkan secara langsung melalui Facebook dan Youtube Perpustakaan UTM.


Dr. Maskiah Masrom telah mengupas dua (2) buah buku bertajuk Pintu Mabrur (Edisi Jawi) tulisan beliau sendiri dan Kumpulan Cerpen Yang Jauh yang ditulis oleh Dr. Othman bin Sahalan. Pintu Mabrur bukan sekadar sebuah buku biasa; ia merupakan sebuah karya yang membawa pembaca menghayati aspek spiritual, memberi inspirasi untuk mendalami makna perjalanan ibadah dan hubungan dengan Sang Pencipta. Buku ini khusus menceritakan tentang perjalanan spiritual ibadah haji yang memerlukan kesabaran dan ilmu yang mencukupi dalam menghadapi ketidaktentuan dan ragam manusia yang pelbagai.


Penggunaan tulisan Jawi juga menambah nilai klasik dan nostalgia, menarik minat pembaca untuk menghargai warisan bahasa yang kaya dalam tradisi Melayu-Islam. Dalam edisi Jawi, Pintu Mabrur memainkan peranan dalam menghidupkan semula penggunaan tulisan Jawi dalam kalangan masyarakat. Buku ini berjaya menjadikan Jawi bukan sekadar tulisan, tetapi juga sebagai satu medium yang membawa mesej penuh makna, menyentuh hati dan jiwa.


Buku yang kedua iaitu Kumpulan Cerpen Yang Jauh mengandungi beberapa cerpen yang membawa tema-tema kehidupan masyarakat Melayu yang mendalam dan pelbagai. Setiap cerpen dalam Kumpulan Cerpen Yang Jauh membawa pembaca untuk menelusuri pengalaman penulis  seterusnya mendalami dunia sastera Melayu.

Share this :