10 November 2024, Ahad – Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan, Jabatan Perpustakaan UTM (JPUTM) dengan kerjasama Bahagian Keselamatan UTM, Pusat Kesihatan Universiti, Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan UTM dan Bahagian Pengurusan Aset telah mengadakan Latihan Pengungsian Bangunan dan Latihan Kebakaran di Bangunan Perpustakaan Sultanah Zanariah (PSZ), JPUTM pada jam 10.00 pagi.
Tujuan latihan ini diadakan adalah untuk memberi pendedahan mengenai panduan sekiranya menghadapi kebakaran dan kemalangan serta cara menggunakan alat pemadam api yang betul dan berkesan. Sesi latihan ini melibatkan 107 orang yang terdiri daripada staf, pengguna, dan warga He & She Cafe. Beberapa siri latihan telah diberikan kepada Emergency Response Team (ERT), Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan, JPUTM sebagai persedian untuk Latihan Pengungsian Bangunan dan Latihan Kebakaran.
Bagi menjayakan latihan, satu senario latihan telah dirangka iaitu letupan akibat litar pintas pada ketuhar gelombang mikro di Ruang Pantri, aras 3, PSZ JPUTM yang melibatkan seorang mangsa. Incident Commander telah menerima makluman kejadian dari Floor Monitor aras 3 dan memaklumkan kepada Bahagian Keselamatan dan seterusnya memberi arahan kepada ahli pasukan lain bagi mengerakkan pengungsian bangunan dan menjalankan aktiviti menyelamat.
Sebelum mengakhiri sesi latihan, pihak Bahagian Keselamatan telah memberikan sedikit taklimat mengenai tindakan yang perlu diambil sekiranya menghadapi situasi kebakaran termasuk cara-cara menggunakan pemadaman api kepada seluruh warga perpustakaan. Sebagai penutup, Puan Zaleha Atan, Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Perkerjaan, JPUTM telah memberikan ucapan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam menjayakan latihan ini.
Semoga latihan yang diberikan berupaya meningkatkan kesedaran dan kemahiran warga perpustakaan dalam menghadapi situasi kecemasan. Pengalaman praktikal yang diperoleh melalui simulasi ini diharapkan dapat membantu warga perpustakaan lebih bersedia dan bertindak dengan pantas dan berkesan dalam menghadapi risiko kebakaran atau insiden tidak terduga pada masa akan datang.