Pada 21 November 2024 (Khamis), bertempat di Bilik Seminar 2, Bangunan PSZKL, Perpustakaan UTMKL telah menganjurkan sesi perkongsian oleh Puan Nik Masriza Zakaria, Timbalan Ketua Pustakawan, PSZKL. Dalam sesi ini, beliau berkongsi pengalaman sepanjang penglibatan beliau dalam International Library Leaders Programme (ILLP) yang berlangsung di The British Library, United Kingdom, dari 3 hingga 10 Julai 2024. Sesi ini turut dihadiri oleh staf Jabatan PSZKL sebagai sebahagian daripada inisiatif pembangunan profesional.
ILLP merupakan program intensif yang memberi peluang kepada peserta dari pelbagai negara untuk mempelajari amalan terbaik pengurusan perpustakaan bertaraf dunia. Dalam sesi tersebut, Puan Nik Masriza mengetengahkan beberapa perkara utama hasil pemerhatian dan pembelajaran beliau sepanjang program, antaranya:
- Ruang Terbuka dan Koleksi Khusus: Penyediaan ruang mesra komuniti dengan koleksi khusus seperti manuskrip bersejarah dan koleksi digital yang unik.
- Inovasi Teknologi: Pendigitalan bahan dan penggunaan teknologi canggih untuk mendukung penyelidikan dan pengurusan koleksi.
- Transformasi Perkhidmatan: Fokus untuk menjadikan perpustakaan sebagai pusat komuniti abad ke-21 dengan mengintegrasikan elemen fizikal dan digital
Beliau turut menekankan pentingnya literasi digital, sokongan terhadap penyelidikan, serta komunikasi ilmu sebagai tunjang kepada transformasi perpustakaan moden.
Sesi perkongsian ini telah memberikan inspirasi baharu kepada kakitangan perpustakaan UTM untuk memperkasakan perkhidmatan perpustakaan dan mengukuhkan peranan perpustakaan sebagai pusat ilmu komuniti.
“Perpustakaan bukan sekadar tempat koleksi, tetapi pusat untuk membina komuniti.” Dengan tema “Meningovasi Penyelesaian,” perpustakaan UTM bertekad untuk terus menyesuaikan diri dengan perubahan dunia maklumat dan memainkan peranan yang lebih besar dalam menyokong komuniti akademik serta masyarakat umum.