Perpustakaan UTM, sebagai sebuah organisasi berasaskan ilmu pengetahuan, yakin bahawa ilmu pengetahuan berhak diperoleh oleh setiap rakyat Malaysia tanpa mengira status sosial. Oleh itu, ia kekal komited dalam menyokong usaha pembelajaran sepanjang hayat yang mengubah persepsi terhadap ilmu pengetahuan di mana ia bukan lagi terhad di alam persekolahan dan institusi pengajian tinggi sahaja. Oleh itu, Perpustakaan UTM mengambil langkah proaktif dengan melaksanakan inisiatif yang memberi tumpuan khusus kepada Murid Berkeperluan Khas (MBK). Murid-murid ini adalah mereka yang mengalami kekurangan upaya dari sudut penglihatan. Usaha ini dilaksanakan melalui penterjemahan bahan bacaan biasa ke dalam format braille dan buku audio yang boleh diakses melalui laman web Baca Celik Hati (https://library.utm.my/BacaCelikHati/).


Inisiatif ini bermula seawal tahun 2019 dengan projek transliterasi bahan bacaan kanak-kanak serta pembangunan Special Learning Tool Kit, iaitu poster berinformasi dengan pelbagai maklumat umum. Pada tahun 2020, inisiatif ini diperkukuhkan melalui inovasi baharu apabila bahan bacaan disediakan bukan sahaja dalam format braille, tetapi juga dalam format audio berserta kod QR. Bahan-bahan ini kemudiannya dimuat naik ke laman web Baca Celik Hati untuk memastikan ilmu dapat disebarluaskan, sekaligus memberi peluang yang sama kepada MBK untuk mengakses pendidikan seperti murid aliran perdana. Langkah ini selaras dengan aspirasi Pendidikan Malaysia untuk memastikan pendidikan inklusif dan berkualiti untuk semua.


Pemerkasaan bahan bacaan melalui laman web Baca Celik Hati merupakan antara agenda utama program khidmat masyarakat Perpustakaan UTM. Sebagai sokongan terhadap inisiatif ini, Dewan Bahasa dan Pustaka, telah menyumbangkan hak cipta lima (5) karya YBhg. Datuk Dr. Siti Zainon Ismail, iaitu Kolam Teduh Biru, Rumah Semut Kuala Abai, Mimpi Si Ikan Kaloi, Kampung Pulau Kelapa dan Kebun Rama-Rama. Selain itu, Institut Terjemahan & Buku Malaysia turut menyumbangkan hak cipta dua (2) karya beliau, iaitu Sahabat Si Bulu Cantik dan Zaman Cicak dan Mengkarung.

Projek transliterasi ini dijalankan selama dua (2) bulan, bermula November hingga Disember 2024, melibatkan beberapa proses seperti penyediaan bahan bacaan dalam format braille dan audio sehingga muat naik ke laman web Baca Celik Hati. Perpustakaan UTM juga membuka peluang kepada rakan sinergi seperti Friends of UTM Library (FoLY) untuk turut serta menyumbang khidmat bakti dalam menjayakan projek ini.

Semoga cabang baharu bahan bacaan yang disediakan melalui laman web Baca Celik Hati dapat memupuk minat mendalam MBK terhadap sastera dan warisan budaya bangsa, sekaligus merancakkan budaya membaca. Setinggi-tinggi penghargaan diucapkan kepada Dewan Bahasa dan Pustaka serta Institut Terjemahan & Buku Malaysia atas sumbangan tidak ternilai dalam menjayakan projek transliterasi braille ini. Usaha ini bukan sahaja menyokong pendidikan mampan tetapi juga memperkukuhkan pembelajaran sepanjang hayat bagi golongan yang memerlukan.

Share this :