9 Januari 2025 (Khamis) – Perpustakaan UTMKL (PSZKL) telah menerima kunjungan lawatan oleh delegasi RSI Indonesia School Sumatera Selatan, Indonesia pada 6 Januari 2025 (Isnin) dengan jumlah pelawat seramai 12 orang dengan dua (2) orang guru pengiring yang diketuai oleh Mr. Shawn Teichmer. Puan Sharifah Radhiah Syed Azman telah mengendalikan lawatan ini dengan dibantu oleh tiga (3) orang petugas lawatan.
Sesi lawatan dimulakan dengan taklimat ringkas mengenai latar belakang PSZKL dan perkhidmatan yang disediakan kepada pengguna. Perkhidmatan kepada pengguna yang disediakan oleh perpustakaan semestinya menjadi rujukan banyak pihak dalam menyediakan khidmat terbaik kepada pengguna di mana pengguna khususnya mahasiswa UTM dianggap sebagai ‘pelanggan’ kepada UTM dan semestinya layanan terbaik perlu diberikan kepada mereka.
Seterusnya, para pelawat dibawa melawat ke ruang-ruang eksklusif perpustakaan seperti ruang bahan rujukan yang menempatkan ribuan koleksi buku yang boleh dirujuk dan dipinjam oleh pengguna bagi keperluan pembelajaran, pengajaran malah juga untuk penyelidikan oleh para pensyarah. Kemudian, petugas lawatan turut membawa pelawat ke ruangan yang menempatkan Kaunter Sirkulasi yang diketahui umum sebagai perkhidmatan kritikal di mana di situlah perkhidmatan utama perpustakaan dijalankan iaitu peminjaman dan pemulangan bahan, pembayaran denda, peminjaman bilik-bilik belajar peribadi dan juga khidmat runding-rujuk. Kaunter Sirkulasi adalah front liner bagi PSZKL dan menjadi tunggak kepada imej perpustakaan di mata pengguna.
Para pelawat turut teruja melihat demonstrasi Sistem Pinjaman Layan Diri (SPLD) yang disediakan PSZKL di mana pengguna tidak semestinya perlu meminjam bahan rujukan di kaunter, tetapi turut boleh dilakukan secara layan diri di mesin SPLD untuk menjimatkan masa peminjaman mereka dan tidak perlu beratur di kaunter. Seterusnya, para pelawat turut dibawa melawat ke ruang galeri yang menempatkan beberapa artifak UTM yang menjadi bukti kepada kematangan universiti dalam mendepani cabaran teknologi demi untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada warganya.
Sesi lawatan berakhir dengan sesi fotografi para pelawat dan petugas lawatan sebagai tanda kenang-kenangan. Diharapkan agar lawatan ini memberi banyak maklumat kepada pelawat mengenai perkhidmatan yang disediakan PSZKL dan memberi galakan kepada mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi pada satu masa nanti sebagai mahasiswa UTM.