9 Januari 2024 (Khamis) – Perpustakaan UTM Kuala Lumpur (PSZKL) berbesar hati menerima kunjungan lawatan oleh Universitas Krisnadwipayana Indonesia. Lawatan ini bertujuan untuk mengeratkan hubungan kerjasama di antara dua (2) institusi, dimana ia turut berfokus kepada pendedahan ilmu mengenai pengurusan perkhidmatan perpustakaan kepada pengguna.

Lawatan ini telah dikendalikan oleh Encik Mohd Azalan Mohd Lazim yang merupakan Pembantu Pustakawan di PSZKL dengan dibantu oleh tiga (3) petugas lawatan lain. Para pelawat yang terdiri daripada 12 orang mahasiswa dan 2 pengiring telah diberikan taklimat mengenai perkhidmatan yang disediakan oleh PSZKL kepada para pengguna, khususnya mahasiswa UTM. Mereka turut diperkenalkan dengan perpustakaan fakulti yang terletak di bangunan Malaysia-Japan International Institute of Technology (MJIIT).

Keseluruhan lawatan tertumpu kepada penerangan mengenai ruangan eksklusif yang terdapat di perpustakaan. Di samping itu, para pelawat turut diberi penerangan mengenai perkhidmatan yang terdapat di Unit Sirkulasi di mana ia merupakan perkhidmatan yang paling kritikal iaitu perkhidmatan peminjaman dan pemulangan bahan perpustakaan di samping memahami dengan lebih jelas mengenai peranan petugas di kaunter yang  merupakan front liner di perpustakaan dan secara tidak langsung membawa imej perkhidmatan terbaik kepada pengguna. Pelawat turut dibawa melawat ke ruangan bahan rujukan dan galeri yang menempatkan beberapa artifak yang memberi gambaran mengenai kematangan usia perkhidmatan yang disediakan oleh universiti, khususnya PSZKL.  Ini tidak hanya memperkayakan ilmu tetapi juga membolehkan pertukaran idea yang merangsang kreativiti dan pemikiran baharu antara kedua-dua institusi.

Pihak PSZKL mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan di atas kunjungan lawatan yang diadakan dan semoga dengan lawatan tersebut dapat mengeratkan lagi hubungan dua (2) hala di antara universiti dan sekaligus menarik minat para mahasiswa mereka untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi di UTM.

Share this :